Israel masih bedil selatan Lubnan

Israel masih bedil selatan Lubnan

PERTEMPURAN antara dengan Israel dengan Hizbollah di Lubnan masih berlaku. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Tentera Israel pada Rabu melancarkan serangan udara ke atas beberapa kawasan di selatan Lubnan, meskipun perjanjian damai yang menamatkan perang di Asia Barat turut merangkumi negara itu.

Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan, pesawat pejuang Israel melancarkan serangan ke kawasan Nabatieh Al-Fawqa serta pinggir timur bandar Kfar Tebnit yang berdekatan.

Israel turut melancarkan serangan dron ke atas bandar Ansariyeh di kawasan Zahrani, menurut laporan NNA.

Walaupun keganasan di Lubnan berkurangan sejak perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan perang di Asia Barat diumumkan pada Isnin, serangan Israel di selatan negara itu masih mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang sejak perjanjian tersebut dimeterai, menurut NNA.

Pengurangan keganasan membolehkan sebahagian penduduk selatan Lubnan kembali untuk meninjau keadaan bandar dan kampung mereka, namun tentera Lubnan menggesa orang ramai menangguhkan kepulangan kerana masih wujud ‘risiko pelanggaran dan serangan Israel’.

Kumpulan bersenjata Hizbullah yang disokong Iran membawa Lubnan ke dalam perang di Asia Barat pada awal Mac apabila melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan tersebut.

Israel kemudian bertindak balas dengan melancarkan kempen serangan udara berskala besar serta pencerobohan darat.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata pada Selasa penamatan konflik itu tidak akan lengkap tanpa pengunduran tentera Israel dari wilayah yang didudukinya sepanjang perang ini.

“Sebarang serangan ketenteraan oleh rejim Zionis terhadap Lubnan mulai sekarang dan pendudukan berterusan ke atas wilayah Lubnan akan dianggap sebagai pelanggaran memorandum persefahaman pada pandangan kami,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pada Isnin tentera negaranya akan terus berada di Lubnan selama mana yang diperlukan.

Setakat ini, Hizbullah belum mengeluarkan sebarang kenyataan sejak Selasa yang mendakwa pihaknya melancarkan serangan terhadap sasaran Israel di selatan Lubnan.

Pemimpin kumpulan itu, Naim Qassem, dijadual menyampaikan ucapan yang disiarkan menerusi televisyen pada Rabu.

Semalam, beliau menyatakan ‘penghargaan mendalam’ terhadap usaha Iran dalam memaksa entiti Israel menghentikan serta-merta dan secara kekal operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Lubnan pada Selasa meningkatkan angka korban akibat serangan Israel sejak tercetusnya perang kepada 3,826 orang, ketika pasukan penyelamat terus menemukan mayat daripada runtuhan bangunan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN