Bekas Pengurus Besar ASPA,Tokoh Maal Hijrah Pahang - Utusan Malaysia

Bekas Pengurus Besar ASPA,Tokoh Maal Hijrah Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Mohd Ali Hanafiah Sh. Ruji sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Bekas Pengurus Besar Amanah Saham Pahang (ASPA), Datuk Mohd. Ali Hanafiah Sh. Ruji, 79, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan di sini hari ini.

Anugerah itu disempurnakan penyampaiannya oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat merasmikan sambutan berkenaan.

Mohd. Ali Hanafiah yang berasal dari Kampung Chenor, Maran berkata, beliau tidak menyangka dipilih menerima pengiktirafan berprestij itu dan menganggapnya sebagai rezeki yang dikurniakan Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas anugerah ini. Saya tidak sangka akan menerimanya kerana sepanjang hidup saya bekerja kerana Allah dan berkhidmat kepada masyarakat sebaik mungkin. Saya berharap pengiktirafan ini dapat menjadi pemangkin kepada anak-anak muda supaya terus berusaha melakukan kebaikan serta berkhidmat dengan ikhlas kerana Allah,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam, Mohd. Ali Hanafiah menubuhkan serta menjadi Pengerusi Maahad Tahfiz Darul Ulu, Beserah, Kuantan pada tahun 2000 yang ketika itu mempunyai hampir 100 pelajar.

Institusi tersebut kini menempatkan kira-kira 150 pelajar dan sudah dinaik taraf sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada 2009. Beliau juga penaung maahad tahfiz itu selain pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Masjid Jamek Beserah dari tahun 2004 hingga 2010.

Pada majlis sama, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) menerima Anugerah Inovasi Jabatan, manakala Allahyarham Mohammad Ismail, Pengurus Kanan Pembangunan Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang, dianugerahkan Anugerah Inovasi Kakitangan.

Anugerah Perkhidmatan Agama pula diberikan kepada Timbalan Mufti Negeri Melaka, Hazarudin Baharudin, sementara Anugerah Sukarelawan Ummah disampaikan kepada konsultan syarie dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Salamon Ali Rizal Abdul Rahman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN