PETALING JAYA: Pertembungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, justeru suara akar umbi dan hasrat umat Melayu perlu diberikan perhatian dengan mengelakkan parti-parti yang sehaluan daripada bertembung sesama sendiri.
“Seboleh-bolehnya jangan sampai ‘kabilah’ bertembung. Jika bertembung, yang untung PH. Menang sorak, kampung tergadai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Mohd. Syahir berkata, rundingan bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan perlu berasaskan prinsip penyandang atau incumbency.
Katanya, kerusi selebihnya pula perlu ditentukan berdasarkan kebolehmenangan atau winnability dengan mengambil kira kekuatan jentera, sokongan rakyat serta penerimaan terhadap calon.
“Sementara itu, perkara berkaitan penggunaan logo dan pengeluaran watikah calon tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi serta tandatangan pengerusi gabungan.
“Sekalipun hendak berlawan, jangan diajak. Pas sudah 75 tahun berlawan. Jika sehaluan, jalan seiringan. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan,” katanya. – UTUSAN










