PETALING JAYA: Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa) meluluskan permohonan Vantris Energy Berhad (Vantris Energy) untuk keluar daripada klasifikasi syarikat Nota Amalan 17 (PN17) berkuat kuasa pada pukul 9 pagi, Khamis.
Kelulusan itu menandakan satu pencapaian kejayaan utama dalam fasa pemulihan syarikat yang dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Berhad, susulan penyelesaian penstrukturan semula kewangannya selain merekodkan keuntungan bagi dua suku tahun berturut-turut.
Vantris Energy diklasifikasikan sebagai syarikat bawah status PN17 sejak Mei 2022 akibat krisis kewangan yang meruncing.
Sejak tempoh itu, syarikat bersama anak-anak syarikatnya telah melaksanakan satu daripada pelan penstrukturan korporat paling kompleks di negara ini merangkumi penstrukturan semula hutang, pembinaan semula modal, pelaburan baharu, penyelesaian pembiaya serta pemulihan kedudukan kewangan kumpulan.
Kumpulan tersebut berjaya menyelesaikan Pelan Pengaturan Semula dan mencapai Tarikh Berkuat Kuasa Penstrukturan Semula (RED) pada 26 September 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, pelepasan status PN17 itu memberikan kelegaan besar selain mencerminkan kerja keras, kesabaran serta kepercayaan semua pihak yang kekal bertahan mengharungi tempoh yang amat mencabar itu.
“Kami berterima kasih kepada Bursa Malaysia, pengawal selia, pemegang saham, pembiaya, vendor, pelanggan dan seluruh kakitangan kami yang terus memberikan sokongan sepanjang perjalanan penstrukturan ini. Kepercayaan mereka memberi peluang untuk kami membina semula syarikat.
“Kelulusan ini merupakan langkah penting ke hadapan, namun ia bukan penutup kepada perjalanan pemulihan kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ganesh Gunaratnam berkata, fokus syarikat kini terarah kepada usaha mengekalkan momentum operasi, mempertingkat konsistensi pendapatan merentas semua segmen, memperketat kawalan kos serta membina semula rekod prestasi yang lebih kukuh.
“Keluar daripada status PN17 memberikan kami platform yang lebih kukuh, namun tanggungjawab kami sekarang adalah untuk menyerahkan prestasi yang konsisten,” katanya.
Strategi jangka panjang kumpulan akan terus ditumpukan kepada usaha memperkukuh perniagaan teras, menambah baik pengurusan risiko, meraih kontrak baharu secara bertanggungjawab serta menumpukan kepada peluang yang sejajar dengan kapabiliti operasi syarikat demi penciptaan nilai jangka panjang yang mampan. – UTUSAN










