KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) memperkenalkan laman web dan akaun sosial media untuk orang ramai lebih mengetahui aktiviti yang dijalankan oleh pihak mereka.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Datuk Mohd Aqliff Shane Abdullah berkata, sudah tiba masanya untuk mereka membawa kedudukan PBMM ke peringkat lebih tinggi seiring dengan peranan dan objektifnya bagi mengawalselia, mempromosi, mengalakkan serta membangunkan sukan bola sepak di Malaysia.
Jelasnya, perkembangan media sosial akan menjadi medium pemasaran dan pengiklanan untuk sukan bola sepak di negara ini selain ia dapat merapatkan hubungan antara persatuan bersama peminat.
“Penjenamaan semula Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia dan Piala berprestij iaitu Piala Emas Raja Raja dan Piala Agong, salah satu langkah awal PBMM dengan melancarkan laman web dan juga platform sosial media seperti Youtube, TikTok dan Instagram.
“Kita yakin ianya menjadi satu sistem informasi yang padu dan dapat menjadikan sumber informasi, sejarah, berita, pengetahuan serta mengalakkan perpaduan kaum melalui bola sepak di Malaysia,” katanya ketika majlis pelancaran laman web dan sosial media di Stadium UiTM, malam tadi.
Tambahnya, inisiatif ini juga adalah sebagai menyahut saranan atau galakkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkeyakinan PBMM mampu melaksanakan transformasi menerusi semangat perpaduan yang ada pada persatuan itu.
Terdahulu, Pahang berjaya mempamerkan kebangkitan untuk menempah laluan ke final Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2023 apabila menewaskan Selangor menerusi sepakan penalti 4-2 selepas kedudukan terikat 2-2 secara agregat sehingga tamat permainan.
Menanti Pahang adalah pasukan jiran mereka, Terengganu yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final selepas mudah menewaskan Kedah 3-1 secara agregat.
Perlawanan akhir PERR 2023 akan diadakan pada 10 Disember depan dan kemungkinan besar ia akan berlangsung di Stadium Cheras Kuala Lumpur.