SHAH ALAM: Selangor merancang untuk mempelbagaikan sumber tenaga termasuk mempercepat penerokaan pembangunan loji nuklear bagi mengurangkan kepada kebergantungan terhadap gas dan diesel.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut penting bagi mendepani krisis dan menjadikan negeri berdaya tahan dalam keperluan pembekalan serta penggunaan tenaga tanpa bergantung kepada sumber import.
“Bermaksud, campuran tenaga di Selangor harus dipelbagaikan. Kita tidak hanya boleh bergantung kepada gas ataupun arang batu. Tenaga solar, hidrogen dan mungkin biodiesel boleh memainkan peranan yang lebih penting dan harus dipercepatkan.
“Usaha meneroka sistem dan kesediaan Selangor untuk membina loji nuklear akan digerakkan menerusi kerjasama negara lain, khususnya membentuk ekosistem dan kapasiti pelajar-pelajar universiti supaya kita melahirkan bakat tempatan berbanding bergantung kepada kepakaran luar negara,” katanya pada sidang akhbar khas di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengumumkan Pakej Daya Tahan Selangor 2026 dengan peruntukan sebanyak RM130.42 juta bagi menangani kesan akibat konflik peperangan Israel – Amerika Syarikat dengan Iran.
Beliau menambah, kerajaan negeri juga bersedia untuk mempercepatkan kepada tiga berbanding lima tahun bermula tahun ini dengan kerjasama syarikat-syarikat yang berminat untuk membina sumber tenaga nuklear pada masa depan.
“Pada masa ini, kita masih lagi di peringkat awal iaitu menyediakan bakat dan menyediakan sumber manusia yang bekemampuan mengendalikan teknologi itu, di samping meneroka teknologi-teknologi dari negara luar,” ujarnya.
Selain itu, Amirudin turut memaklumkan kesediaan Selangor mengoperasikan insenarator sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung 12 pada Jun ini.
“Dalam tempoh terdekat, saya akan melancarkan loji WTE agar sistem pungutan dan pengurusan sampah dapat menjana tenaga berbanding terus bergantung kepada tapak pelupusan sampah (konvensional),” tambahnya. – UTUSAN










