KUALA LUMPUR: Dadah sintetik berbahaya atau ‘fentanyl’ dikesan cuba dipasarkan di negara ini melalui rampasan 400 katrij vape berisi 0.8 liter cecair tersebut dalam serbuan Op Hemiptera pada 9 April lalu.
Fentanyl yang digelar dadah ‘zombie’ itu sangat berbahaya apabila kesannya lebih 100 kali ganda kuat berbanding morfin dan heroin.
Serbuan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 33 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dijalankan di hadapan premis bengkel sekitar Bandar Kinrara, Puchong dan menahan seorang lelaki.
Penahanan lelaki yang dipercayai berperanan sebagai transporter itu turut menemukan 200 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 212 kilogram (kg) yang disimpan dalam sebuah kereta.
Katanya, penahanan itu membawa kepada satu lagi tangkapan iaitu penjaga stor di sebuah teres dua tingkat sekitar Cheras di sini.
Beliau berkata, serbuan tersebut menemukan 389 bungkusan seberat 404.12 kg ; 1,975 kepingan aluminium foil berisi pil erimin (6.4kg) dan 400 katrij vape yang mengandungi 0.8 liter cecair disyaki dadah jenis fentanyl.
Jelasnya, nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM31.57 juta dan ia mampu merosakkan seramai 3.12 juta pengguna.
“Modus operandi sindiket ini adalah pihak pembekal akan meninggalkan kenderaan yang mengandungi dadah di lokasi telah ditetapkan sebelum kereta itu diambil oleh pelanggan untuk tujuan menyimpan bekalan dadah dalam stor.
“Siasatan mendapati sindiket bergiat aktif sejak awal tahun ini selain disyaki cuba memasarkan dadah di kelab malam dan premis hiburan.
“Hasil siasatan lanjut turut mendapati dadah tersebut diseludup masuk dari sempadan semenanjung utara melalui Kuala Perlis namun kami sedang menyiasat sama ada ia mempunyai rangkaian dengan sindiket Thailand.
“Kami percaya sindiket ini cuba memasarkan dadah zombie atau fentanyl kepada pelanggan negara ini yang dianggarkan RM200,000 bagi satu kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurutnya, suspek pertama direman selama 13 hari bermula 10 hingga 22 April manakala suspek kedua direman 11 hari sehingga Ahad ini.
Jelas beliau, pihaknya turut menyita pelbagai harta dianggarkan bernilai RM432,000 iaitu tiga kenderaan dan wang tunai berjumlah RM15,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan sabit kesalahan gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya. – UTUSAN










