PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) yang melibatkan komitmen berjumlah RM5 juta bagi tempoh tiga tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah ini bermatlamat merancakkan ekonomi negara dan mengangkat Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan, pelaburan serta pelancongan Asean.
“Hal ini memastikan pertumbuhan yang mampan dan berteraskan rakyat selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan.
MoC tersebut ditandatangani oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin serta disaksikan oleh Hannah dan Pengerusi CIMB Group, Datuk Syed Zaid Albar.
Sementara itu, Fadlun berkata, usaha sama itu menggabungkan keupayaan kedua-dua organisasi dalam menyediakan peluang kepada bakat serta usahawan tempatan untuk terus berkembang.
“Langkah itu meletakkan Kuala Lumpur bukan sekadar pusat tarikan pelancong, malah mengangkat kesejahteraan rakyat menerusi kelestarian ekonomi.
“Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif menerusi inisiatif Moving KL Forward – Kita Bagi Jadi,” katanya.
Dalam pada itu, Novan berkata, inisiatif terbabit menterjemahkan matlamat perbankan CIMB ke arah memajukan pelanggan dan komuniti kepada impak yang nyata.
Menurutnya, inisiatif itu akan memacu pengadaptasian digital PMKS untuk meningkatkan daya saing menerusi platform CIMB OCTO dan OCTO Biz bagi tempoh tiga tahun.
“Ia turut memfokuskan pengaktifan ekonomi kreatif tempatan melalui penganjuran acara kesenian dan kebudayaan bagi menjana pendapatan.
“Kami berhasrat untuk membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan, mengangkat bakat kreatif tempatan serta menyemai rasa bangga sivik.
“Ini seterusnya berupaya menarik lebih banyak pelaburan dari seluruh Asean selaras dengan kerangka Ekonomi Madani,” ujarnya.
Beliau berkata, CIMB menyokong ekosistem ekonomi tempatan menerusi inisiatif Santuni MADANI dengan peruntukan sebanyak RM3.6 juta di luar skop DBKL.
“Dana ini disalurkan bagi meningkatkan kesejahteraan 9,000 penduduk di empat Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“CIMB terus memperkasakan tahap produktiviti golongan sasar menerusi program iTEKAD dan sokongan CIMB Foundation kepada Komuniti Tukang Jahit (KTJ) bagi menjana kelangsungan pendapatan ibu tunggal dan pekerja e-hailing.
“Inisiatif menyeluruh ini membuktikan komitmen berterusan bank tersebut dalam menyokong mobiliti ekonomi rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN









