PETALING JAYA: Rekod kemenangan bersih Sabah di peringkat Kumpulan H Piala AFC lebur apabila tunduk 2-3 kepada Hai Phong FC dalam aksi sengit di Stadium Lach Tray, sebentar tadi.
The Rhinos yang sebelum ini menjinakkan Hougang United (3-1) dan PSM Makassar (5-0) dibolosi pada minit ke-14 menerusi jaringan Nguyen Huu Son.
Empat minit kemudian, pintu gol Sabah yang dikawal Damien Lim selagi lagi bocor menerusi rembatan kaki kiri Dam Tien Dung.
Tidak mudah menyerah kalah, anak didik Datuk Ong Kim Swee merencenakan beberapa gerakan serangan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-71 apabila Ramon Machado menyempurnakan umpanan Darren Lok.
Begitupun, tuan rumah menggandakan jaringan seminit kemudian hasil jaringan Tien Dung.
Aksi serang menyerang terus disajikan kedua-dua pasukan, di mana Sabah kembali merapatkan jurang jaringan hasil rembatan kencang umpama ‘peluru’ dari luar kotak penalti oleh pemain gantian, Gary Steven Robbat pada minit ke-80.
Bagaimanapun, usaha Sabah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian sekali gus mengalami kekalahan pertama dalam tiga aksi di pentas Piala AFC musim ini.
Keputusan itu menyaksikan Sabah dan Hai Pong kini berkongsi enam mata untuk berada dalam kelompok dua teratas Kumpulan H.-UTUSAN