Suplemen pemutih kulit ancam kesihatan

Suplemen pemutih kulit ancam kesihatan

suplemen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna pro­duk suplemen mencerahkan kulit terdedah kepada risiko ke­selamatan yang boleh menye­babkan radang hati terma­suk kegagalan organ.

Ini kerana tidak ada satu pun produk terbabit terutama yang dijual secara berleluasa di media sosial dan platform online yang berdaftar de­ngan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penggunaan produk tidak berdaftar ini berbahaya teruta­ma sekiranya ia mengan­dungi bahan beracun atau ubat berjadual.

AZUANA RAMLI

Timbalan Ketua Pengarah Ke­sihatan Perkhidmatan Farmasi, Dr. Azuana Ramli berkata, semua produk Pengantara Makanan-Ubat (FDI) yang me­ngandungi bahan termasuk da­­lam ‘Senarai Negatif untuk FDI’ perlu didaftarkan dan men­­dapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dibenarkan me­­­masuki pasaran.

Beliau berkata, produk ­suplemen kesihatan tidak dibenarkan mengandungi bahan yang tersenarai dalam racun berjadual di bawah Akta Racun 1952. Katanya, produk tersebut turut dikawal selia di bawah Akta Jualan Dadah 1952 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Produk dengan formulasi kombinasi bahan makanan dan bahan aktif seperti vitamin, mineral dan herba dalam bentuk dos serbuk, cecair dan separa pepejal yang tidak jelas sama ada produk makanan atau ubat akan dikategorikan sebagai FDI.

“Namun sehingga kini, tiada produk suplemen kesihatan ber­daftar dengan tuntutan kesihatan bagi tujuan memutihkan kulit,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.

Pada 9 November lalu, media melaporkan seorang wani­ta meninggal dunia selepas mengambil produk suplemen yang dipercayai mengandungi bahan aktif Glutathione iaitu bahan tersenarai di bawah Negative List dalam Drug Re­gistration Guidance Document (DRGD).

Merujuk dokumen Akta Racun 1952 di laman portal rasmi KKM, antara bahan beracun yang tersenarai dalam ejen kulit adalah hydroquinone, tretinoin dan azelaic acid.

Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial, khususnya platform TikTok mendapati produk suplemen dijual secara meluas oleh ratusan penjual giat mempromosikan pada harga tidak masuk akal.

Hasil semakan di ‘beg ku­ning’ rata-rata menunjukkan se­­botol suplemen boleh diperoleh dengan harga sekitar RM20 manakala harga promosi pula ditawarkan serendah RM10 sahaja.

Kebanyakan produk berke­naan dijual menggunakan testimoni pelanggan serta paparan sebelum dan selepas penggunaan, kononnya menjanjikan kesan dalam masa singkat bagi menarik perhatian pembeli, terutama remaja dan wanita muda.

Lebih membimbangkan, ramai pempengaruh turut memasarkan produk berkenaan dengan pelbagai tuntutan tidak sahih seperti selamat digunakan untuk ibu mengandung dan telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Di sebalik frasa ‘cerah seawal tujuh hari’, produk suplemen pencerah kulit sering menyembunyikan risiko kesihatan yang tidak didedahkan kepada pengguna.

Sementara itu, Pengarah Urusan Farmasi Annona, Nur­husni Mahad Nor berkata, peng­gunaan produk suplemen yang tidak berdaftar boleh menjejaskan keselamatan pengguna, khususnya apabila produk tersebut mengandungi bahan beracun atau ubat berjadual tanpa pengetahuan pembeli.

“Bahan tidak terkawal se­perti glutathione dalam dos tinggi yang tidak mengikut standard serta campuran bahan sintetik boleh menyebabkan radang hati, fungsi buah pinggang merosot dan dalam kes tertentu membawa kepada kegagalan organ.

“Pengambilan tanpa pemantauan profesional bersama ubat lain boleh membawa komplikasi mengancam nyawa, terutamanya individu dengan penyakit hati atau buah pinggang,” katanya.

Nurhusni berkata, setiap individu perlu memastikan produk suplemen kesihatan dibeli berdaftar dengan KKM melalui semakan nombor pendaftaran MAL dan pelekat ho­logram FarmaTag.

“Selain merujuk ahli farmasi sebelum membeli, pengguna perlu tahu bahawa kebanyakan produk berbahaya sering menggunakan testimoni melampau kerana mereka tidak boleh menggunakan data klinikal.

“Viral bukan lesen kesela­matan. Apa sahaja yang masuk ke dalam badan tanpa kawal selia yang betul berpotensi menjadi racun jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN