PETALING JAYA: Keghairahan memiliki kulit cerah dan putih dalam kalangan pengguna boleh menyebabkan mereka menanggung kesan buruk akibat pengambilan produk makanan tambahan atau suplemen pemutih.
Seorang pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Trisya, 23, berkata, kini terdapat ketumbuhan di badannya selepas dia mengambil suplemen pemutih.
Katanya, dia menggunakan satu jenama suplemen berbentuk serbuk yang ditemuinya di aplikasi Instagram sebelum membelinya daripada seorang ejen pada harga RM70 sebotol.
“Cara makan produk itu ada dua, sama ada kemam serbuk atau bancuh dengan air, rasanya sangat masam dan pelik tapi saya tetap teruskan sebab hendak cepat putih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Trisya, dia mengambil suplemen itu selama tiga bulan namun tidak melihat sebarang perubahan pada kulitnya lalu berhenti daripada menggunakannya.
Tanpa disangka, katanya, dua tahun kemudian dia mendapati ketumbuhan di bahagian payudara kiri yang disahkan sebagai sista (cyst) selepas pemeriksaan doktor.
“Pada awalnya saya tidak syak produk pemutih itu puncanya, tetapi selepas doktor tanya pernah ambil suplemen yang ada kolagen barulah saya teringat produk yang saya beli di Instagram,” jelasnya.
Menurut Trisya, dia tidak pernah mengambil sebarang produk lain selain serbuk suplemen pemutih itu dan yakin ia menjadi punca kepada masalah kesihatannya
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, pengguna produk suplemen mencerahkan kulit terdedah kepada risiko keselamatan yang boleh menyebabkan radang hati termasuk kegagalan organ.
Ini kerana tidak ada satu produk terbabit terutama yang dijual secara berleluasa di media sosial dan platform dalam talian yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
Penggunaan produk tidak berdaftar ini berbahaya terutama sekiranya ia mengandungi bahan beracun atau ubat berjadual. – UTUSAN











