Guru bersara awal beri peluang lepasan pendidikan berkhidmat

Guru bersara awal beri peluang lepasan pendidikan berkhidmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gelombang guru bersara awal tidak menjejaskan kualiti pendidikan negara sebaliknya, ia memberi peluang kepada lepasan pendidikan yang ramai dan masih menganggur untuk berkhidmat.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, selain itu, jumlah yang terlibat adalah kecil berbanding keseluruhan guru dan perkara itu memberi peluang kepada golongan graduan pendidikan yang masih menganggur untuk mula berkhidmat.

Katanya, persaraan awal juga memberi peluang kepada guru muda untuk mengisi kekosongan jawatan seperti pengetua, penolong kanan dan guru kanan, sekali gus mengembangkan ker­jaya serta pengalaman kepe­mimpinan mereka di sekolah.

“Isu persaraan awal ini sepatutnya tidak dilihat sebagai satu perkara yang negatif kerana ianya mampu memberi peluang kepada ramai graduan pendidikan yang masih menganggur untuk bergelar sebagai pendidik.

“Lagipun, pada masa kini me­mang wujudnya lambakan siswazah pendidikan sehingga wu­judnya isu pengangguran da­lam kalangan mereka. Oleh itu, isu persaraan awal ini bukanlah sesuatu perkara negatif memandangkan ianya mampu memberikan manfaat kepada graduan sedia ada dan akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, peningkatan jumlah guru bersara awal disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada sistem pendidikan negara khususnya apabila majoriti yang memilih keluar lebih awal daripada perkhidmatan terdiri daripada kelompok pendidik berpengalaman.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, kebimbangan itu timbul kerana guru yang meninggalkan perkhidmatan lebih awal merupakan tenaga mahir yang masih diperlukan.

Sementara itu, pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, angka sekitar 5,000 guru bersara awal itu tidak cukup besar untuk menjejaskan operasi sekolah secara menyeluruh pada peringkat nasional ketika ini.

Menurutnya, kerajaan telah melantik lebih 10,000 guru baharu termasuk 500 Guru Bim­bingan dan Kaunseling pada November lepas bagi memastikan tenaga pengajar di semua pe­ringkat sekolah mencukupi.

“Buat masa ini, sistem pendidikan negara dilihat masih terkawal dari segi bilangan guru hasil perancangan dan langkah berterusan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Lagipun, pada pandangan saya, KPM telah ambil tindakan wajar bagi menangani isu persaraan awal guru dengan menambah bilangan guru baharu.

“Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan KPM bagi kurangkan beban guru, termasuk pemansuhan beberapa sistem pentadbiran yang membebankan se­perti Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN