PASIR MAS: Usianya baru 16 tahun namun seorang remaja lelaki memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga demi menyara neneknya yang uzur serta dua adiknya yang masih bersekolah sejak awal tahun lalu.
Muhammad Izhan Erfandi membuat keputusan itu bagi memastikan nenek dan dua adiknya itu tidak kelaparan selain sewa rumah RM200 sebulan mampu dilunaskan mengikut jadual walaupun kediaman tersebut sudah uzur sehingga terpaksa tidur di ruang tamu.
Katanya, dia berhenti sekolah sejak tingkatan satu dan terus bekerja.
“Sebelum ini kami bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima oleh nenek (Noor’aini Hussin, 70) untuk kelangsungan hidup.
“Melihat keadaan makin mendesak, saya terpaksa bekerja. Ibu meninggal dunia pada tahun 2018 akibat komplikasi kencing manis dan darah tinggi. Sejak itu saya, abang dan dua adik dibesarkan oleh nenek,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa dikunjungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 3rd Force Pasir Mas di sini semalam.
Muhammad Izhan berkata, abangnya, Muhammad Eizat, 19, baru tamatkan pengajian di sebuah pondok agama di sini akan mula bekerja sebagai pembantu kedai makan awal tahun depan.
Katanya, dia dan abang sudah nekad untuk memastikan dua adik mereka menamatkan pengajian sehingga memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kami mahu dua adik yang berusia 14 dan 10 tahun mendapatkan pendidikan sebaik mungkin untuk masa depan lebih baik.
“Soal perbelanjaan, saya dan abang akan usahakan sebaik mungkin, asalkan mereka berdua mahu belajar” ujarnya.
Muhammad Izhan ketika ini bekerja sebagai pembantu kepada juruteknik pendingin hawa dengan bayaran RM50 sehari.
“Kalau kerja penuh, pendapatan saya RM1,100 sebulan,” ujarnya.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Izan di talian 017-7781151. – UTUSAN











