PETALING JAYA: Meskipun Belanjawan 2024 yang dibentangkan mempunyai banyak aspek positif, Hartal Doktor Kontrak (HDK) kesal ketiadaan pelan menyeluruh bagi menangani isu status kontrak untuk anggota kesihatan.
Dalam satu kenyataan, HDK berkata, kekurangan strategi utuh dalam mengekang masalah itu akan memburukkan lagi keadaan ‘brain drain’ serta membebankan tenaga kerja anggota kesihatan khususnya dengan penambahan fasiliti dan hospital yang akan berlaku.
“Secara kolektif, kami berharap kerajaan akan terus bersifat terbuka terhadap pelarasan Belanjawan, terutamanya berkaitan sumber manusia kerana ini adalah asas kepada keberkesanan sistem penjagaan kesihatan.
“Kami menjangkakan ahli-ahli Parlimen bakal membincangkan isu-isu penting ini semasa sesi perbahasan Belanjawan nanti,” kata kenyataan itu.
HDK bagaimanapun memuji peningkatan yang luar biasa hampir 15 peratus dalam peruntukan Belanjawan Kesihatan daripada RM36.3 billion kepada RM41.2 bilion.
Katanya, suntikan dana itu adalah penting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dapat disampaikan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.
Selain itu, keputusan kerajaan untuk menaikkan cukai gula adalah satu lagi langkah yang harus dipuji untuk bergerak ke arah mengurangkan risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit di negara ini.
“Hal ini kerana kebanyakan penyakit tersebut adalah dikaitkan dengan pengambilan makanan bergula yang berlebihan. Tambahan pula, menyalurkan hasil cukai negara ke arah perkhidmatan rawatan pesakit kencing manis dan juga sokongan terhadap pusat-pusat dialisis menzahirkan kehematan kerajaan untuk menangani isu kesihatan yang kritikal.
“Bagaimanapun, kami masih menanti penjelasan lanjut daripada kementerian terlibat dalam isu cukai terhadap tembakau kunyah demi mendapat pemahaman penuh atas kesan-kesan daripada keputusan tersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Belanjawan 2024 menunjukkan kemajuan dan kesaksamaan, namun adalah penting bagi ia terus berkembang demi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan Malaysia.
“Kami menantikan sesi dialog selanjutnya dan usaha kerjasama untuk memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan demi memastikan keteguhan, kebolehcapaian dan kelestarian untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










