Kenapa pukul abang sampai mati, apa salah dia - Adik

Kenapa pukul abang sampai mati, apa salah dia – Adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: “Kenapa pukul abang sampai mati, apa salah dia.

Itu luahan Nur Aina Mohd. Zainal, 18, adik kepada seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam yang maut dipercayai dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini semalam.

Adik mangsa, abangnya, Allahyarham Muhammad Zakir Fikry, 20, bukan seorang yang bermusuh, malah dikenali sebagai individu yang baik dan bekerja sebagai pemasang jubin.

Nur Aina berkata, dia mengetahui kejadian menimpa abangnya kira-kira pukul 7.30 pagi selepas melihat gambar kecederaan mangsa yang dihantar oleh ibu saudaranya.

“Saya terus hubungi ayah dan dimaklumkan abang sudah dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian dengan ambulans.

“Ketika di Zon Merah, abang dalam keadaan kritikal dengan kecederaan parah di kepala, tetapi masih bernyawa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Karang Banggu, di sini hari ini.

Katanya, selepas lebih 17 jam bertarung nyawa, abangnya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah malam akibat kecederaan serius pada kepala, paru-paru dan pundi kencing.

Sebelum ini arwah abangnya itu tinggal di rumah majikan dan kali terakhir mereka bertemu kira-kira seminggu lalu.

“Sebelum kejadian, arwah meminjam motosikal majikan untuk ke rumah rakan bagi mengambil rim motosikal, namun tidak pulang walaupun sudah pukul 3 pagi.

“Beberapa jam kemudian, saya dimaklumkan abang ditemui terbaring dengan muka berlumuran darah di Kampung Padang Lati,” katanya.

Nur Aina berkata, dia belum mengetahui punca sebenar kejadian yang menimpa abangnya dan berharap pihak polis menjalankan siasatan untuk menangkap suspek yang terlibat.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Karang Banggu hari ini selepas proses bedah siasat selesai.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang lelaki OKU lembam maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini, semalam.

Muhammad Zakir Fikry menghembuskan nafas terakhir di HPUSM dekat sini kira-kira pukul 12.45 malam tadi selepas bertarung nyawa lebih 17 jam.

Terdahulu, dia ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah di bahagian muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan kejadian pada pukul 7.30 pagi, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN