BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak berkastam yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang tidak berpenghuni di Bukit Mertajam, bulan lepas.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan hampir dua bulan ke atas gudang berkenaan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat kira-kira 86,800 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama serta 55,606.51 liter minuman keras jenis bir dan ‘liquor’ yang disimpan di dalam gudang tersebut.
“Bagaimanapun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan ketika kejadian kerana lokasi tersebut sememangnya tidak berpenghuni sejak awal,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Jelas Rohaizad, siasatan lanjut mendapati, modus operandi yang digunakan oleh sindiket terbabit ialah menyimpan kesemua rokok dan minuman keras yang tidak berkastam itu di dalam gudang berkenaan semata-mata untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita percaya bahawa kesemua barang rampasan itu akan diedarkan ke pasaran tempatan dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v) yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000, amaun mana yang lebih besar atau didenda tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000.
“Selain itu, mereka juga boleh dipenjarakan antara tempoh enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Rohaizad menggesa orang awam untuk terus membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta tidak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti tersebut.
“Kerjasama itu boleh dilakukan dengan menghubungi talian bebas tol kastam di nombor 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat kastam terdekat untuk membuat aduan,” katanya.-UTUSAN










