BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai hampir RM4 juta dalam dua serbuan berasingan di negeri ini, bulan lepas.
Pemangku Pengarah Kastam negeri, Ramizah Bee Salleh Ghany berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kedai yang dipercayai dijadikan sebagai stor simpanan barang larangan di Tasek Gelugor, kira-kira pukul 11 pagi pada 22 April.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menjumpai kira-kira 242,640 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai RM263,233.08 termasuk cukai yang disyaki tidak berkastam, disorok dalam tandas serta di bawah timbunan kotak terpakai.
“Susulan serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Sementara itu, Ramizah Bee berkata, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah gudang tidak berpenghuni di Mukim 19, Telok Wang, Bukit Mertajam, kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 24 April lalu.
Katanya, dalam serbuan berkenaan, sebanyak 130,800 batang rokok putih dan kretek serta 63,674.30 liter minuman keras bernilai RM3.68 juta turut disita sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM3.95 juta termasuk cukai.
“Kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan pihak kastam juga sedang menyiasat perkaitan antara kedua-dua kes sama ada ia dilakukan oleh sindiket yang sama atau sebaliknya,” ujar beliau.
Tambahnya, setakat ini juga, pihaknya percaya bahawa kesemua barangan yang dirampas atau disita dalam kedua-dua serbuan itu untuk diedarkan ke pasaran tempatan.-UTUSAN










