PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Tharman Shanmugaratnam dipilih sebagai Presiden Singapura yang kesembilan selepas meraih kemenangan pilihan raya jawatan itu yang berlangsung kelmarin.
Perdana Menteri berkata, beliau berharap Singapura terus makmur dan sejahtera di bawah kepemimpinan Tharman.
“Mendoakan agar hubungan dua hala dan jalinan kerjasama di antara Malaysia dan Singapura terus utuh dalam semangat kekeluargaan yang mampu membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, selain mengharapkan Singapura terus makmur dan sejahtera di bawah kemudi beliau.
“Selamat maju jaya kepada Tharman Shanmugaratnam sebagai Presiden baharu Republik Singapura,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Tharman yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kanan Singapura dipilih sebagai Presiden republik itu yang kesembilan selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya diadakan pada Sabtu.
Beliau menewaskan dua calon lain dengan menerima sebanyak 70.4 peratus undi.
Bekas Ketua Eksekutif NTUC Income, Tan Kin Lian berada di tempat kedua dengan memperoleh 15.72 peratus undi, manakala bekas Ketua Pegawai Pelaburan GIC, Ng Kok Song menerima 13.88 peratus undi.
Ia merupakan Pilihan Raya Presiden Singapura yang pertama dipertandingkan dalam tempoh 12 tahun.
Kali terakhir pertandingan Pilihan Raya Presiden diadakan pada Ogos 2011 yang menyaksikan empat calon bersaing merebut jawatan berkenaan.
Pilihan Raya Presiden Singapura kali ini menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Tharman, Kok Song dan Kin Lian. –UTUSAN
HABIS










