KYIV: Putera Harry tiba di Kyiv pada Khamis dalam satu lawatan mengejut sebagai kunjungan terbaharunya untuk menunjukkan sokongan ketika pencerobohan Russia berterusan, menurut kerajaan Ukraine.
“Putera Harry tiba di Kyiv untuk lawatan yang tidak diumumkan,” kata Pusat Menentang Maklumat Palsu Ukraine, sebuah agensi kerajaan, menerusi media sosial.
Operator kereta api nasional Ukraine turut menyiarkan video yang menunjukkan beliau turun dari kereta api sebaik tiba di ibu negara Ukraine.
Harry sebelum ini pernah melawat negara yang dilanda perang itu bagi menyokong veteran yang cedera melalui Yayasan Invictus Games miliknya.
Menurut saluran media Britain ITV yang mengikuti perjalanan tersebut, Putera Harry mengadakan lawatan itu kerana mahu mengingatkan orang di tanah air dan seluruh dunia tentang apa yang sedang dihadapi Ukraine.
Beliau turut dijadualkan melawat badan amal pelupusan periuk api, The HALO Trust yang sebelum ini disokong oleh ibunya, mendiang Puteri Diana.-AFP










