PETALING JAYA: Aksi penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari yang didakwa berpelukan dan saling berlaga pipi dengan lelaki dipercayai teman lelakinya, Tiko Aryawardhana di sebuah kelab malam mengundang kecaman warganet.
Menerusi beberapa keping foto yang tular di media sosial, Bunga atau senang disapa, BCL kelihatan sedang bergembira dan menghabiskan masa bersama lelaki tersebut.
Kelakuan mereka mengundang rasa kurang senang warganet kerana aksi balu Allahyarham Ashraf Sinclair itu dianggap tidak sopan terutama sebagai contoh kepada anak lelakinya, Noah.
Selain gambar yang dimuat naik BCL sendiri, warganet turut mengangkap layar beberapa hantaran daripada rakan pelakon My Stupid Boss itu yang berada bersamanya.
Sebelum ini, BCL dikatakan sudah berani mempamerkan kemesraan dengan Tiko yang merupakan rakan pengajiannya termasuk ketika sambutan ulang tahun ke 40-nya.
Malah, BCL dan Tiko juga dilihat meraikan lebaran tahun ini bersama keluarga dan sahabat-sahabat terdekatnya.
Melihatkan kemesraan itu, rata-rata netizen mula mencipta spekulasi sendiri yang beranggapan BCL sudah membuka hatinya untuk cinta baharu selepas pemergian suaminya dua tahun lalu.