Percepat bayaran kontraktor demi kelancaran sektor pembinaan

Percepat bayaran kontraktor demi kelancaran sektor pembinaan

ALEXANDER Nanta Linggi bergambar bersama warga kerja Kementerian Kerja Raya pada majlis perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua agensi di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) digesa mempercepatkan bayaran kepada kontraktor bagi memastikan kelangsungan sektor pembinaan dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, isu melibatkan aliran tunai kontraktor itu tidak boleh dipandang ringan, justeru agensi berkaitan disaran mendahulukan tuntutan lengkap dan mempercepatkan urusan pengesahan kerja di lokasi pelaksanaan.

“Saya mahu semua agensi di bawah KKR memberi keutamaan kepada pemprosesan tuntutan yang lengkap, mempercepat pengesahan kerja.

“Perkara ini perlu bagi memastikan bayaran interim dan bayaran akhir tidak tertangguh tanpa sebab yang munasabah,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan KKR bagi bulan April 2026 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid KKR hari ini.

Alexander berkata, usaha mempercepatkan pembayaran bukan sahaja memberi manfaat kepada kontraktor, tetapi turut mengekalkan kestabilan keseluruhan rantaian kerja dalam industri pembinaan.

Katanya, pendekatan ini seiring dengan agenda Transformasi KKR yang menekankan perubahan budaya kerja lebih efisien dan berimpak tinggi.

“Pendekatan ini menuntut kita berfikir di luar kebiasaan, mengadaptasi teknologi dan mempercepatkan penyampaian projek serta memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberikan impak maksimum kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN