ALOR SETAR: Kerajaan negeri kerugian RM120 juta ekoran semakan cukai tanah yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini belum mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerugian tersebut disifatkan besar serta memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan negeri.
“Memandangkan Sultan Kedah sendiri bertitah semalam berkaitan isu ini jadi kita berharap agar kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dan agensi terlibat, Majlis Tanah Negara (MTN) membenarkan semakan ini.
“Kehilangan RM120 juta bagi negeri sangat besar dengan anggaran 10 peratus perbelanjaan negeri kalau minit mesyuarat keluar tahun ini. Jadi, kena keluar kerana Tuanku Sultan sudah bertitah tentang isu ini,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan lisan Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman (PN-Tokai) berkaitan status semakan cukai tersebut yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini mengikut perlembagaan yang ditetapkan setiap 10 tahun.
Sehubungan itu kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri berharap agar permohonan semakan tersebut mendapat kelulusan daripada kerajaan dalam masa terdekat.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini menubuhkan pasukan khas dengan peruntukan RM2 juta melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) untuk menyemak lebih 800,000 hak milik tanah.
“Kita mulakan pasukan khas dengan peruntukan RM2 juta untuk PTG menyemak lebih 800,000 hak milik tanah sejak 2024. Seterusnya mengemukakan satu kadar baharu yang munasabah. Memandangkan sudah masuk 2026 dan pemilik tanah sudah membayar pada kadar lama jadi semakan ini tidak dapat dilaksanakan tahun ini,” katanya.
Menjawab soalan lisan Mohd Hayati, kata beliau, kerajaan negeri akan melaksanakan pelupusan denda lewat bayar cukai tanah sebanyak RM49 juta dengan jumlah maksimum tempoh dua hingga tiga tahun.
“Berdasarkan data sehingga 31 Disember tahun lepas terdapat 40 hak milik yang dilucut hak dengan nilai tunggakan lebih RM909,963,” katanya.
Sementara itu, DUN Kedah turut bersetuju memilih semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris dan Setiausaha Pas Kedah, Musoddak Ahmad sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) yang tamat tempoh pada Mac lepas bagi mewakili negeri itu setelah dicadangkan oleh Muhammad Sanusi. – UTUSAN







