Kedah rugi RM120 juta semakan cukai tanah belum lulus

Kedah rugi RM120 juta semakan cukai tanah belum lulus

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri kerugian RM120 juta ekoran semakan cukai tanah yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini belum mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, angka besar itu beri kesan langsung kepada kedudukan kewangan negeri.

“Sultan Kedah bertitah ber­kaitan isu ini jadi kita harap kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dan agensi terlibat, Majlis Tanah Negara (MTN) membenarkan semakan ini.

“Kehilangan RM120 juta bagi negeri sangat besar dengan anggaran 10 peratus perbelanjaan ne­geri kalau minit mesyuarat keluar tahun ini. Jadi, kena keluar kerana Tuanku Sultan sudah bertitah tentang isu ini,” katanya pada Persidangan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Kedah, di sini semalam.

Beliau, menjawab soalan lisan Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman (PN-Tokai) berkaitan status semakan cukai yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini mengikut perlembagaan ditetapkan setiap 10 tahun.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri berharap permohonan semakan mendapat kelulusan daripada kerajaan dalam masa terdekat.

Katanya, kerajaan negeri sebelum ini menubuhkan pasukan khas dengan peruntukan RM2 juta melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) untuk menyemak lebih 800,000 hak milik tanah.

“Kita mulakan pasukan khas dengan peruntukan RM2 juta untuk PTG menyemak lebih 800,000 hak milik tanah sejak 2024.

“Seterusnya mengemukakan satu kadar baharu yang munasabah. Memandangkan sudah ma­suk 2026 dan pemilik tanah sudah membayar pada kadar lama jadi semakan ini tidak dapat dilaksanakan tahun ini,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan melaksanakan pelupusan denda lewat bayar cukai tanah seba­nyak RM49 juta dengan jumlah maksimum tempoh dua hingga tiga tahun.

“Berdasarkan data sehingga 31 Disember tahun lepas terdapat 40 hak milik, dilucut hak dengan nilai tunggakan lebih RM909,963,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN