KOTA BHARU: Aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi melalui laluan laut kini disifatkan lebih membimbangkan berbanding ketirisan di yang berlaku di stesen minyak.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, hal ini kerana bot-bot yang dilengkapi tangki besar itu mampu membawa diesel dalam kuantiti yang sangat banyak.
“Dengan harga subsidi RM1.65 seliter yang diberikan kepada nelayan, ia jauh berbeza dengan nilai tanpa subsidi hari ini.
“Situasi itu sekali gus membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan mudah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, susulan itu beliau sudah memanggil semua agensi penguatkuasaan pagi semalam bagi membincangkan isu Op Tiris membabitkan barangan kawalan.
Katanya, melalui perbincangan itu beliau mengingatkan supaya memberi perhatian dan melakukan pemantauan di jeti nelayan kerana polis bimbang berlaku kegiatan penyeludupan diesel.
“Soal subsidi diesel nelayan di bawah bidang kuasa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Sebarang kemungkinan boleh berlaku memandangkan diesel semakin mahal.
“Kita bimbang mereka akan jual kuota diesel itu kepada bot nelayan asing dan kegiatan penyeludupan ini berlaku di laut. Kita memang tiada data namun kita mengingatkan dan memberi perhatian berhubung isu ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti pemindahan diesel bersubsidi kepada nelayan warga asing dari Thailand dan Vietnam.-UTUSAN










