Kampung Sungoi jana pendapatan penduduk Kiulu

Kampung Sungoi jana pendapatan penduduk Kiulu

JONISTON Bangkuai (angkat tangan) ketika mengunjungi pusat pelancong Kampung Sungoi, Kiulu. - UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIULU: Penduduk Kampung Sungoi di pedalaman daerah ini menjadikan keindahan alam semula jadi sebagai produk pelancongan bagi menambah pendapatan dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Pengerusi Persatuan Eko-Pelancongan Kampung Sungoi, Hezron Jikin berkata, antara tarikan utama ialah Timpak Nulu, lokasi tinjau dan perkhemahan di puncak tertinggi kampung itu yang menawarkan pemandangan bukit-bukau dan kehijauan alam semula jadi.

“Sejak dibuka setahun lalu, Timpak Nulu menerima kunjungan ramai pelawat terutama peminat aktiviti luar dan pengembara tempatan.

“Tapak ini dilengkapi platform tinjau, dewan terbuka, dapur, tandas, bilik persalinan dan lapan pondok perlindungan hasil peruntukan RM150,000 daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar,” katanya.

Lokasi itu yang terletak kira-kira sejam setengah dari Kota Kinabalu semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi dan suasana desa.

Katanya, pengunjung juga boleh menikmati aktiviti mendaki, makanan tempatan dan hidangan tradisional penduduk kampung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Joniston Bangkuai memuji usaha penduduk Kampung Sungoi membangunkan pelancongan berasaskan komuniti.

Katanya, usaha itu boleh menjadi contoh kepada kampung lain di Sabah untuk menjana ekonomi melalui sektor pelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN