Sijil halal `lesen besar’ kembangkan perniagaan - Utusan Malaysia

Sijil halal `lesen besar’ kembangkan perniagaan

ZARINA Bakar menunjukkan sijil halal serta sijil MeSTI di samping produk pes makanan keluaran syarikatnya semasa ditemui di Tanjung Dawai, Sungai Petani. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Keazaman menghasilkan makanan bersih, selamat dan sedap untuk pelanggan membuatkan seorang peniaga kedai makan sanggup mengabdikan diri lebih 20 tahun dalam bidang masakan.

Bermula dengan menggunakan bahan masakan sedia ada di pasaran, Zarina Bakar, 56, terpanggil untuk tampil mengusahakan sendiri produk keluarannya dengan harapan orang ramai mampu menjamu selera dengan rasa lebih selamat.

Tambah membanggakan, produk pes berasaskan makanan keluaran syarikatnya, Naim Gulai Semilang Enterprise (NGS) kini mendapat pengiktirafan melalui sijil dan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), baru-baru ini.

Zarina berkata, menerima pengiktirafan itu sememangnya dinanti-nantikan selama ini kerana ia sebagai proses penting tentang keyakinan pelanggan terhadap produk keluarannya.

“Sebelum ini saya telah menerima sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan dengan adanya sijil serta logo halal JAKIM ini pula mampu meluaskan pasaran penggunaan produk hasil syarikat saya.

“Apa yang penting adalah produk saya ini dijamin kualitinya, bersih dan selamat serta sedap dan boleh digunakan pelanggan pelbagai bangsa,” katanya ketika ditemui di Tanjung Dawai, di sini.

14 jenis pes berasaskan makanan yang terdiri daripada pes kari ikan, daging, ayam, rendang, masak merah, masak hitam, sambal tumis, inti ikan sumbat, asam pedas, kurma, sup, ikan bilis garing, ikan talang goreng dan tepung celup sotong itu semuanya dihasilkan secara manual oleh ibu kepada lima anak ini.

“Saya yang menyediakan sendiri segala ramuan dan bahan untuk menghasilkan semua pes berkenaan dan pada peringkat awal hanya menjualnya di premis perniagaan di Kampung Pial di sini sahaja.

“Saya turut beruntung kerana penglibatan sebagai sahabat usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pusat Yan/Kuala Muda sejak 1989 telah membolehkan saya mendapat banyak manfaat dari segi keperluan modal, khidmat nasihat dan pengurusan perniagaan untuk terus bertahan sehingga sekarang,” katanya.

Menurut Zarina, kejayaan memperolehi pengiktirafan halal berkenaan akan memberi semangat untuk dia merealisasikan impian menaikkan nama Tanjung Dawai sekali gus mencapai hasratnya memenuhi saranan kerajaan melalui program ‘Satu Kampung Satu Industri’.

Katanya, program itu penting kerana secara tidak langsung akan membolehkan penduduk di Kampung Pial dan Kampung Belau mempunyai pekerjaan untuk menjana pendapatan dan mengurus keluarga masing-masing.

“Selain itu sijil dan logo halal ini merupakan lesen besar untuk saya menyediakan prasarana pemasaran lebih luas termasuk di luar Malaysia dalam usaha mengembangkan perniagaan.

“Terima kasih kepada AIM, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia yang banyak membantu merealisasikan impian saya daripada peniaga tepi jalan kepada usahawan berjaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN