Datin Norli impi tubuh bank wanita

Datin Norli impi tubuh bank wanita

DATIN DR. NORLI mengamalkan sikap positif dalam semua perkara. - UTUSAN/ IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Datin Dr. Norli @ Norlaili Alias berhasrat membantu kerajaan membangunkan Bank Wanita Malaysia pertama seperti bank wanita yang telah ditubuhkan di Pakistan pada 1988.

Bagi beliau pentingnya sesebuah negara mempunyai bank wanita sendiri kerana bakat wanita dalam institusi perbankan efektif selain menjadi penggiat utama keusahawanan negara untuk menerajui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setelah lebih 20 tahun dengan institusi perbankan kemudian berkhidmat sebagai penjawat awam, Norli mahu cetusan idea untuk menubuhkan bank wanita pertama di Malaysia tercapai.

“Saya ingin menekankan pentingnya sesebuah negara mempunyai sebuah bank wanita sendiri dan Malaysia wajib membangunkan Bank Wanita Malaysia kerana wanita adalah penggiat utama keusahawanan negara bagi menerajui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih tinggi.

“Itu hasrat saya yang mana bakat wanita dalam institusi perbankan efektif ini sebenarnya sangat luas.

“Saya juga berharap supaya lebih ramai wanita diketengahkan oleh kerajaan dengan pendedahan supaya wanita boleh menjadi succession plan kerajaan dalam melaksanakan dasar keusahawanan negara lebih mampan sekali gus menjana ekonomi negara daripada sektor PKS,” ujarnya kepada Seri.

Kata beliau, seperti negara-negara asing yang pernah dilawati, dalam institusi perbankan menerusi indeks non-performing loan (NPL) iaitu pinjaman tidak berbayar adalah paling rendah dijayakan oleh wanita.

“Wanita mempunyai indeks pembayaran balik pinjaman terbaik berbanding kaum lelaki. Itu adalah analisis dunia bukan di Malaysia sahaja.

“Data S&P Global Market Intelligence Analysis 2021, sebanyak 56.3 peratus daripada 1.9 juta jumlah pekerja dalam industri perbankan adalah wanita berbanding 43.7 peratus adalah lelaki. Ini adalah data sahih yang membuktikan kaum wanita lebih ramai dalam industri perbankan,” katanya.

MAHU WANITA MILIKI PERNIAGAAN SETARAF ANTARABANGSA

Seorang yang tidak mengenal erti penat lelah dalam setiap perjuangan untuk membantu usahawan dalam merealisasikan impian mereka sendiri pada era global masa kini menjadikan Datin mahu dirinya menjadi inspirasi ramai.

Beliau tidak lokek berkongsi pengalaman selama 23 tahun berkhidmat di enam institusi perbankan domestik dan antarabangsa malah sentiasa mengamalkan sikap positif dalam semua perkara.

Datin Norli yang merupakan Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita) mahu membantu ramai wanita untuk berjaya dalam bidang perniagaan menerusi konsep keusahawanan dinamik.

Pembabitannya selama enam tahun sebagai Senior Vice President di Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) pada 2014 banyak membantu usahawan-usahawan mikro sehingga ada yang berjaya membawa produk ke luar negara dan juga menerajui banyak bidang perniagaan.

Norli suka melihat kepada kejayaan individu apabila usahawan berjaya mengatasi masalah kewangan maka dia akan berjaya juga mengatasi semua rintangan dalam membesarkan perusahaan.

Minatnya untuk membantu usahawan wanita yang ingin gapai peluang tinggi sebagai pemain industri global.

“Sepanjang berkhidmat, saya telah diberikan mandat bertugas di semua bahagian di dalam struktur perbankan yang mana di situlah saya belajar mengenai kesemua divisyen seperti corporate finance, pinjaman, product development dan pelbagai lagi.

“Semasa 23 tahun dalam institusi ini juga saya telah didedahkan oleh top management untuk menjaga high networks figure dan daripada situlah saya mula mengenali dan menangani masalah yang wanita perlukan. Antaranya dalam permohonan pembiayaan, dokumentasi dan perancangan perniagaan yang tidak jelas.

“Secara keseluruhan, apabila saya telah bergiat dengan memberi pinjaman dan pembiayaan kepada ramai usahawan dan syarikat, saya dapat melihat pendedahan saya di peringkat perbankan sehinggalah ditugaskan untuk melaksanakan dan membangunkan Ar-Rahnu TEKUN, pembangunan usahawan dan juga bahagian hubungan antarabangsa di TEKUN” kongsinya di Seri.

Beliau juga berjaya menjadikan usahawan mikro yang menjalankan perniagaan jeruk ketika Covid-19 peroleh pendapatan RM8 juta setahun.
Melalui pembiayaan mikro dan bimbingan keusahawanan, beliau juga berjaya memperkenalkan lebih 50 syarikat mikro kepada pasaran antarabangsa antaranya trade mission ke luar negara seperti ke Myanmar, Korea, Hong Kong, China, Thailand dan Indonesia dengan menggunakan pendekatan ekosistem yang efektif dan dinamik.

Norli merupakan wanita pertama yang telah dibeli oleh Bank Islam Malaysia Berhad dari padaAl Rajhi Bank pada 2014 dan telah dibon selama dua tahun bagi menumpukan dan membantu dalam agenda penambahbaikan khidmat pelanggan.

BERGIAT AKTIF DENGAN NGO

Ibu kepada empat cahaya mata ini begitu sensitif terhadap kehendak usahawan terutama wanita.

 

Menceburkan diri sebagai ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak pernah sekali terlintas di fikirannya namun ia berubah selepas melihat networking yang efektif antara ahli persatuan dan kemudian diberikan didikan oleh Pengasas Wawasanita, Norhayati Abdul Rahman.

“Seumur hidup, NGO yang pernah saya sertai hanyalah Wawasanita yang mana ditubuhkan pada 26 tahun dahulu.

“Saya berkenalan dengan Wawasanita melalui satu program yang dianjurkan oleh Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) dan ketika itu saya bertugas sebagai pengurus di Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) cawangan Ampang Point pada 2000.

“Apa yang membuatkan saya ingin berkecimpung dalam NGO adalah networking. Persatuan adalah satu platform yang setiap wanita wajib sertai kerana di situ pelbagai pendedahan yang mereka boleh belajar terutama bagaimana untuk menangani pelbagai isu dalam syarikat, diketengahkan melalui pemikiran kreatif, penyelesaian masalah dan komunikasi efektif supaya kita berani bercakap dan bertanya,” tutur beliau.

SUKA MEMBANTU USAHAWAN YANG BERJAYA

Jatuh bangun Norli sebagai seorang figura dan berperanan sebagai pemudahcara kepada agenda keusahawanan berjaya kerana beliau adalah pengamal pemikiran postitif dalam kehidupan seharian.

Metod pemikiran positif adalah faktor utama bagi membantu menyuntikkan semangat dalaman seseorang usahawan supaya lebih berdaya saing dan tidak lemau.

“Saya lebih memandang jatuh itu bukan jatuh tersungkur tetapi ia adalah sesi pembelajaran seseorang manakala bangun pula adalah tahap berjaya dan penentu kejayaan kita supaya mahu sentiasa maju.

“Mengapa saya memilih selama 23 tahun untuk taat dan setia dengan institusi perbankan? Saya diberi peluang menyelami bagaimana rezeki 500 syarikat mikro berjaya jadikan perusahaan mereka mampan dan lestari.

“Saya mengabdikan ilmu yang saya pelajari dan diri ini untuk membantu sesiapa sahaja usahawan di luar sana mengatasi masalah dalam mengembangkan perusahaan mereka,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya