KUALA LUMPUR: Unifi Arena, Bukit Jalil bakal menyaksikan ‘perang saudara’ beregu lelaki Malaysia apabila pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijadual bertembung dengan gandingan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026, esok.
Pasangan ranking kedua dunia itu mara dengan penuh bergaya selepas mudah mengetepikan cabaran beregu muda China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-16 dalam masa 34 minit pada aksi suku akhir sebentar tadi.
Juara dunia 2022 tersebut nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mengawal permainan sejak awal sebelum menutup perlawanan tanpa banyak masalah.
Aaron berkata, pengalaman menjadi faktor utama membantu mereka mengawal rentak permainan meskipun lawan tampil dengan corak agresif dan bertenaga.
“Mereka memang bermain sangat laju kerana masih muda dan banyak menggunakan kelajuan serta kekuatan.
“Kami pula cuba tetapkan permainan sendiri dengan lebih tenang dan konsisten, dan saya rasa itu menjadi hari ini,” kata Aaron kepada pemberita di sini, sebentar tadi.
Namun cabaran sebenar menanti Aaron-Wooi Yik esok apabila bakal berdepan bekas rakan sepelatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Sze Fei-Izzuddin yang kini semakin menyerlah di pentas antarabangsa.
Di atas kertas, Aaron-Wooi Yik memiliki kelebihan psikologi apabila mendahului rekod pertemuan 6-2 ke atas Sze Fei-Izzuddin sejak kali pertama mereka bertemu pada 2018.
Wooi Yik mengakui pertemuan menentang Sze Fei-Izzuddin esok dijangka berlangsung sengit walaupun mereka memiliki kelebihan rekod pertemuan 6-2.
“Saya rasa tahap dan permainan kami semua lebih kurang sama, jadi yang penting adalah siapa lebih tenang ketika mengawal situasi dalam gelanggang.
“Esok pasti akan jadi satu perlawanan yang sukar tetapi paling penting Malaysia sudah ada satu wakil beregu lelaki di final,” kata Wooi Yik.
Bagaimanapun, pasangan profesional negara itu bukan lawan yang boleh dipandang mudah selepas berjaya menamatkan rentetan lima kekalahan berturut-turut dengan kemenangan pada pertemuan terakhir di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024.
Pertembungan dua pasangan terbaik negara itu sekali gus dijangka menjadi antara aksi paling panas kejohanan dengan kedua-dua beregu memburu tiket ke final di hadapan penyokong sendiri.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik muncul naib juara edisi tahun lalu selepas tewas kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada aksi final Mei tahun lalu. – UTUSAN










