PETALING JAYA: Penyanyi pop alternatif Indonesia, Hindia, bakal kembali menghiburkan peminat setianya di Malaysia menerusi konsert istimewa, Doves, ’25 Experience.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 22 Ogos depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu dijangka membawa kelainan menerusi konsep era ‘mixtape’ yang menggabungkan karya Hindia bersama artis lain seperti diperkenalkan dalam Doves, ’25 on Blank Canvas yang dilancarkan Februari lalu.
Acara tersebut dianjurkan syarikat pengurusan kreatif Sepuluh Dua Empat (1024) dengan kerjasama penganjur Indonesia, Seraya Live serta penganjur tempatan, Renjana Idea.
Menurut Hindia atau nama sebenarnya, Baskara Putra, konsert berkenaan bakal menyajikan pengalaman audio-visual berbeza dengan sentuhan muzik yang diperhalusi bersama pemuzik pengiringnya, Blue Valley Radio.
“Secara keseluruhan, Doves, ’25 Experience merupakan rangkuman elemen paling penting daripada pelbagai persembahan yang kami jayakan sepanjang era mixtape ini.
“Peminat akan menikmati intipati persembahan tersebut dalam satu malam istimewa, termasuk senarai lagu yang lebih panjang. Ini juga cara kami membalas kerinduan serta menghargai sokongan luar biasa peminat di Malaysia yang sentiasa menerima kehadiran kami dengan baik,” katanya.
Tambah Baskara, idea besar bagi konsert tersebut sudah dirancang sejak pelancaran Doves ’25 dan Malaysia menjadi lokasi pertama untuk merealisasikan konsep berkenaan.
Untuk rekod, mixtape Doves, ’25 on Blank Canvas merupakan karya eksperimental Hindia yang menggabungkan elemen gitar dan bunyian elektronik dengan lirik dalam bahasa Indonesia serta Inggeris.

Karya itu turut meraih pengiktirafan meluas di Indonesia apabila memenangi beberapa kategori utama di Anugerah Musik Indonesia (AMI), termasuk Video Muzik Terbaik, Artis Solo Alternatif Terbaik, Album Alternatif Terbaik dan Album Terbaik.
Pencapaian tersebut sekali gus mencipta sejarah sebagai mixtape pertama memenangi kategori Album Terbaik dalam anugerah berprestij itu.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan berkenaan, tiket konsert akan mula dijual menerusi laman sesawang ticket2u.com.my bermula esok, pukul 3 petang.
Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu Standing (RM258), Seating 1 (RM248) dan Seating 2 (RM178). Selain itu, kategori VIP turut disediakan membabitkan VIP Standing (RM698) dan VIP Seating (RM758).
Pemegang tiket VIP bakal menikmati pelbagai keistimewaan termasuk barangan eksklusif, akses masuk awal ke ruang konsert serta peluang mengikuti jelajah produksi belakang tabir yang dikendalikan sendiri oleh Baskara sebelum persembahan bermula. -UTUSAN










