WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengenakan sekatan terhadap sembilan individu yang dikaitkan dengan Hizbollah kerana didakwa menghalang proses damai di Lubnan ketika serangan Israel di selatan negara itu berterusan walaupun gencatan senjata telah diumumkan.
“Hizbollah ialah sebuah organisasi ‘pengganas’ dan mesti dilucutkan senjata sepenuhnya,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent.
“Perbendaharaan akan terus mengambil tindakan terhadap pegawai yang telah menyusup masuk ke dalam kerajaan Lubnan dan membolehkan Hizbollah meneruskan kempen ‘tidak masuk akal terhadap rakyat Lubnan serta menghalang keamanan berkekalan,” tambahnya.
Hizbollah yang disokong Iran mengecam sekatan itu dalam satu kenyataan, menyifatkannya sebagai cubaan menakut-nakutkan rakyat Lubnan yang bebas bagi mengukuhkan pencerobohan Zionis terhadap negara itu.
Kumpulan itu menambah bahawa sekatan tersebut tidak akan memberi sebarang kesan praktikal terhadap pilihan Hizbollah atau kesinambungan usaha mempertahankan kepentingan dan kedaulatan rakyat Lubnan.
Hizbollah mempunyai sokongan meluas di Lubnan dan memiliki sayap bersenjata serta politik, termasuk ahli-ahli parlimen yang dipilih.
Kumpulan itu menentang keras rundingan damai secara langsung antara wakil Lubnan dan Israel yang berlangsung baru-baru ini. Washington dan sekutunya Israel menuntut pelucutan senjata penuh kumpulan itu.
Antara individu yang dikenakan sekatan pada Khamis ialah Ahli Parlimen Hizbollah, Hassan Fadlallah, Ibrahim al-Moussawi dan Hussein al-Hajj Hassan serta ketua majlis eksekutif, Mohamed Abdel-Mottaleb Fanich.
Washington turut mengenakan sekatan terhadap Mohammad Reza Sheibani, duta Iran ke Lubnan yang dilantik tetapi diisytiharkan sebagai persona non grata atau individu tidak dikehendaki dan diarahkan meninggalkan negara itu pada Mac lalu.
Turut dikenakan sekatan ialah Ahmad Asaad Baalbaki dan Ali Ahmad Safawi daripada sekutu politik Hizbollah, Amal serta pegawai tentera Lubnan yang sedang berkhidmat iaitu Brigedier Jeneral Khattar Nasser Eldin termasuk Kolonel Samir Hamadi.
Ini merupakan kali pertama pegawai tentera Lubnan dikenakan sekatan oleh AS. – AFP










