Sivasangari, Ivan ke separuh akhir skuasy Asia

Sivasangari, Ivan ke separuh akhir skuasy Asia

S. SIVASANGARI (kiri) mara ke separuh akhir selepas menundukkan Aifa Azman pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Skuasy Individu Asia 2023 di Pusat Skuasy Hong Kong, Hong Kong, hari ini. - Ihsan hksquash.org.hk
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: S. Sivasangari menempah pertemuan dengan pilihan pertama, Satomi Watanabe dari Jepun pada separuh akhir esok Kejohanan Skuasy Asia esok selepas menundukkan rakan senegara, Aifa Azman di Hong Kong, hari ini.

Pemain No. 50 dunia yang diletak selaku pilihan ke-5/8 dipaksa berhempas pulas sebelum meraih kemenangan ke atas pilihan ke-3/4, Aifa Azman 12-10, 12-14, 12-10, 11-7 dalam masa 44 minit.

Kejayaan tersebut menemukan pemain yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat itu dengan Watanabe yang pernah ditewaskannya sebanyak lima kali dan kali terakhir Sivasangari berbuat demikian pada Terbuka Australia 2019.

Watanabe, 24, pula tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat empat terbaik selepas pemain No. 18 dunia itu menang straight set ke atas wakil tuan rumah yang merupakan juara bertahan, Tong Tsz Wing 11-5, 11-4, 11-7 dalam masa 25 minit.

Walaupun rekod pertemuan berpihak kepada Sivasangari 5-0, namun anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu dijangka berdepan tugas berat menentang Watanabe yang mempamerkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini yang menyaksikan lonjakan kepada ranking dunianya.

Berbeza dengan Sivasangari yang baharu sahaja menamatkan pengajian di Universiti Cornell, dia mengalami kejatuhan ranking daripada kedudukan No. 16 ke tangga No. 50 dunia, gara-gara kemalangan jalan raya yang menimpanya, tahun lalu.

Sivasangari kini bangkit selepas kembali aktif bermain pada awal tahun ini dan berdasarkan aksi terbaharu mara ke suku akhir Terbuka Manchester, bulan lalu, pemain berusia 24 tahun itu kelihatan sudah mendapatkan semula prestasinya.

Dalam satu lagi suku akhir, Rachel Arnold tewas kepada pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk 13-11, 10-12, 4-11, 7-11 dalam masa 33 minit.

Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran pada Kejuaraan Asia untuk kategori perseorangan wanita ialah menerusi bekas juara dunia, Datuk Nicol David pada 2015.

IVAN YUEN

Sementara itu, dalam saingan lelaki, Ivan Yuen berjaya menyekat dominasi Hong Kong apabila menyingkirkan pemain tuan rumah, Tang Ming Hong 14-12, 11-5, 11-8 dalam masa 39 minit.

Kemenangan yang dicatat Ivan menyaksikan Malaysia memiliki dua wakil pada separuh akhir, selepas pilihan pertama Ng Eain Yow terlebih dahulu mara ke peringkat empat terbaik dengan menumpaskan rakan senegara Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 11-3, 11-4, 11-4.

Ivan yang menghuni ranking ke-66 dunia itu bakal beraksi menentang pemain ke-115 dunia, V. Senthilkumar dari India yang mengejutkan pilihan kedua dari Hong Kong, Lau Tsz Kwan menerusi kemenangan straight set 11-9, 11-7, 11-8. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya