Sarawak tidak naikkan tarif elektrik – Abang Jo

Sarawak tidak naikkan tarif elektrik – Abang Jo

ABANG JOHARI TUN OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan menaikkan tarif elektrik di negeri kerana mempunyai empangan hidroelektrik yang menjana tenaga elektrik sendiri. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan tarif elektrik hanya akan mengakibatkan aktiviti pelaburan di negeri ini terjejas.

“Sarawak mempunyai kekuatan dari segi tenaga elektrik, selain itu tarif (elektrik) kita pun tidak tinggi dan masih (menggunakan) harga lama. 

“Kalau harga elektrik tinggi, pelabur tidak akan masuk dan kontraktor pun akan mengalami kesusahan membayar bil elektrik tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak ke-24 di sini, malam tadi.

Untuk rekod, menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) Abang Johari mengumumkan lanjutan diskaun bil elektrik pengguna domestik, komersial dan industri menerusi sebanyak 5% hingga 25% dari Februari hingga Jun tahun ini. 

Usaha itu bagi menangani kos sara hidup dalam pada masa yang sama membantu setiap isi rumah memulihkan ekonomi pendapatan selepas berdepan pandemik Covid-19. 

Tambah Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu, Sarawak beruntung memiliki sumber air yang banyak sekali gus membolehkan usaha membangunkan projek kuasa hidro di Baleh dan projek serupa di Trusan, Limbang dilaksanakan.

“Selain itu, Sarawak juga beruntung dengan kuasa cahaya matahari yang cukup untuk menghasilkan tenaga solar melalui projek solar terapung.

“Sarawak benar-benar beruntung untuk memiliki semua sumber ini (air, minyak dan gas, cahaya matahari, dan angin). Semua ini adalah anugerah Tuhan, dan kita mesti menggunakannya dengan berkesan dengan menyepadukan idea dan teknologi baharu,” jelasnya lagi.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN