UNDILAH baik-baik, menang buat cara menang kalau kalah pula jangan bermusuh berpanjangan. Awak pun tahu menang atau kalah itu adat pertandingan, yang akan ‘bersilat’ esok pun orang kita juga.
Paling penting adalah hari esok, siapa pun yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka haruslah dihormati, kalah pula jangan dipinggirkan supaya keharmonian tetap berlangsung. Juga usah dicanang kalau biru menang, perlu dinilai hubungannya dengan merah. Begitu juga kalau merah menang.
Ini kerana keharmonian politik ketika ini wajib dijaga apabila sejak dua Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu tak ada parti yang boleh membentuk majoriti. Semua kena berunding, semua kena duduk bersama kerana akhirnya ramai nampak betapa pentingnya pentadbiran yang stabil supaya negara melangkah ke depan dan masalah-masalah rakyat dapat diselesaikan.
Harus diingat sampai bila-bila, semua orang melihat pelbagai masalah sedang melanda negara dari sekecil-kecil parit tersumbat sehingga isu di Selat Hormuz yang ‘menyengat’ setiap rakyat. Itu yang kelihatan, yang dalam maya pula datang bertalu serangan siber dan bukan sikit jumlah terkesan.
Justeru, kestabilan politik dan pentadbiran amat penting, kerana kalau tidak nanti banyak benda yang ‘hilang sekelip mata’.
Sebagai contoh bencana banjir, akibat rumah tenggelam ramai yang hilang harta sekelip mata. Lebih menyedihkan bila kejadiannya berulang dalam masa singkat, peti ais yang baru dibeli pun sudah tak boleh digunakan lagi. Almari, tilam dan barang penting lain yang rosak pula terpaksa diganti. Situasi sebegitu memang membebankan. Sekarang ini musim tengkujuh kenalah lebih berhati-hati.
Dengan keadaan itu, sebenarnya akan lebih membebankan apabila desakan supaya bertukar pimpinan, menggesa orang itu dan ini meletakkan jawatan. Semua itu langsung tak menyelesaikan masalah-masalah yang sedang ditanggung anak-anak watan.
Amatlah tak berbaloi apabila bertukar kerajaan, banyak projek-projek tebatan banjir nanti akan tertangguh silap-silap dibatalkan atas alasan dinilai semula, diaudit dan sebagainya semata-mata mencari kelemahan atau kesalahan pemimpin terdahulu. Sedangkan yang sedang berjalan pun terobek dan terpaksa dibina semula. Itu baru banjir, satu masalah yang melanda seluruh negara. Semua hendak bersuara akhirnya ‘tak serap air pun’.
Itu banjir, baru satu isu, tetapi satu negara berbunyi. Bagaimana pula dengan isu lain? Isu keselamatan, perumahan, cukai, gaji minimum, peniaga-peniaga kecil, yuran taska yang membebankan dan pengangkutan awam? Banyak lagi yang lebih baik berbanding desak-mendesak, ejek-mengejek dan momok-memomokkan.
Tetapi yang berkuasa pula janganlah mudah terlena, ibarat orang mengantuk ‘disorongkan bantal’. Jangan jadikan aduan sebagai sandaran, turunlah ke lapangan bina laporan, selesaikan masalah walaupun tak menang tangan. Jujurlah kalau ada kelemahan akui sahaja dan terus baiki. Tak adalah nanti terasa hati bila kena ‘serangan’.
Sehingga kini, kitalah biru, kita juga merah. Bila tiba masanya nanti, barulah kita masuk ke medan dan nilailah betul-betul, yang baik kita angkat. Semua orang tahu cerita Pak Kaduk, tetapi lepas Pak Kaduk kalah semua orang tolong ke?
Takut nanti hilang dalam sekelip mata

Mohamad Athir Ismail adalah Wakil Negeri Selangor
Media Mulia TV
Copyright © 2026 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved