Bursa dan ringgit dijangka naik dua minggu akan datang - Utusan Malaysia

Bursa dan ringgit dijangka naik dua minggu akan datang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing dijangka membuat pusingan ‘U’ untuk kembali ke pasaran ekuiti tempatan dalam tempoh dua minggu datang ekoran keputusan Senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) siling hutang Khamis lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, rentetan itu Bursa Malaysia akan kembali semula melebihi 1,400 mata manakala ringgit pula dijangka naik kepada RM4.40 berbanding dolar AS.

“Beberapa hari sebelum ini kita lihat banyak ringgit ditukar menjadi AS dolar kerana pelabur menjual saham daripada ringgit dan bawa kembali ke AS untuk menyokong pelaburan mereka di sana.

“Ini kerana mereka khuatir sekiranya Republikan tidak bersetuju dengan kenaikkan siling hutang, tetapi Khamis lalu berlaku sebaliknya di mana krisis itu berjaya diselesaikan,” katanya.

Jelas beliau, ekoran situasi berkenaan, pelabur asing dilihat akan kembali melabur ke dalam pasaran tempatan namun ia tidak akan berlaku serta merta memandangkan mereka dijangka akan mengambil sikap tunggu dan lihat bagi tempoh seminggu hingga dua minggu.

“Apabila republikan bersetuju meningkatkan tahap siling hutang, pelabur-pelabur ini mula berasa lega dan sekarang mereka berfikir untuk membawa kembali dolar AS ke Malaysia dan jika itu berlaku, ringgit dan saham kita akan meningkat.

“Namun, pelabur-pelabur ini memerlukan masa yang kita panggil sebagai cooling period kerana walaupun keputusan sudah dibuat mereka masih khuatir dengan kemungkinan perubahan akan berlaku.

“Oleh itu, saya menjangkakan dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi barulah kita akan dapat melihat kesan positif kepada Bursa Malaysia dan ringgit,” katanya.

Ditanya jangkaan beliau sama ada indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bakal melebihi 1,400 mata selepas jatuh sekitar 1,300 mata sebelum ini, Barjoyai berkata ia akan naik dengan mudah.

“Saya rasa 1,400 agak mudah untuk dicapai tetapi untuk ia naik lebih jauh daripada itu saya tidak pasti kerana sepatutnya Bursa saham kita sudah di peringkat 1,700 mata sekarang.

“Tetapi memandangkan berlakunya krisis AS, perang Russia dan Ukraine serta kadar dasar semalaman (OPR), ia tergendala namun kita masih menjangkakan ia akan naik sekurang-kurangnya 1,600 mata menjelang hujung tahun ini.

“Untuk ringgit pula saya menjangkakan ia akan berlegar sekitar RM4.35 sehingga 4.40 dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.

Terdahulu, Senat Amerika Syarikat meluluskan RUU siling hutang pada lewat Khamis lalu yang mengelak berlakunya buat pertama kali kegagalan pembayaran hutang negara sebelum tarikh akhir 5 Jun.

Senat mengundi 63-36 untuk meluluskan undang-undang itu, lapor Agensi Anadolu.

Jumaat lalu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 1.75 mata lebih rendah kepada 1,381.26 daripada paras penutup 1,383.01 pada Khamis.

Ringgit pula kembali mengukuh pada 4.5800/4.5900 berbanding dolar AS, lebih baik daripada 4.6130/4.6180 pada penutup Khamis lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya