PETALING JAYA: Penyerang Sabah FC, Fergus Tierney mahu membalas kepercayaan jurulatih dan rakan sepasukan apabila kembali disenaraikan menjelang aksi final kedua Piala Cabaran 2026 menentang Penang FC di Stadium Likas, Ahad ini.
Tierney sebelum ini terlepas aksi final pertama di Stadium Bandaraya pada 4 April lalu selepas digantung satu perlawanan susulan dua kad kuning, sekali gus menyaksikan dia hanya mampu melihat rakan-rakan beraksi dari tempat penonton.
Penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun itu kembali dengan misi jelas untuk membantu Sang Badak memburu trofi.
“Memang kali ini saya teruja untuk kembali diturunkan sebab tempoh hari (final pertama) saya hanya mampu melihat daripada kerusi penonton sahaja.
“Saya harap saya dapat bantu pasukan ini sebaik mungkin dan tidak akan mensia-siakan sebarang peluang di depan mata.
“Kita semua pun memang sentiasa fokus untuk aksi final ini dan harapan saya adalah semua penyokong Sabah akan turun ramai-ramai berikan motivasi tambahan kepada kami,” katanya.
Mengulas cabaran di final kedua, Tierney mengakui Penang bukan lawan mudah apabila pasukan itu semakin konsisten sepanjang musim.
Dalam masa sama, momentum ketika berjaya mengikat Selangor FC 1-1 dalam aksi Liga Super pada 11 April turut dianggap penyuntik semangat buat Sabah.
“Penang FC semakin hari semakin baik dengan kekuatan mereka, jadi kita tidak boleh mengalah dan perlu berada di tahap terbaik untuk dapat keputusan yang kita mahu.
“Apa pun, selepas kita pulang dengan satu mata menentang Selangor minggu lalu, ia seakan jadi motivasi kepada kami untuk teruskan momentum seperti ini di final,” ujarnya.-UTUSAN










