PETALING JAYA: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini dalam nada negatif, mencerminkan sentimen berhati-hati pelabur di tengah ketidaktentuan prospek ekonomi global.
FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 3.87 mata kepada 1,685.84 pada 9.15 pagi hari ini, berbanding 1,689.71 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras dibuka rendah pada 1,689.07.
Jumlah dagangan sebanyak 208.75 juta unit bernilai RM167.34 juta.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 166 berbanding 159 dengan 311 kaunter tidak berubah dan 2,096 tidak diniagakan.
Dalam pada itu, Nikkei Jepun susut 497.86 mata atau 0.84 peratus kepada 59,017.97 ketika berita ini ditulis.
Selain itu, STI Singapura turun 0.27 peratus kepada 5,007.83 dan indeks KOSPI Korea Selatan jatuh 4.35 mata atau 0.09 peratus kepada 6,220.26. – UTUSAN










