Kanak-kanak empat tahun perlu RM100,000 buang ketumbuhan - Utusan Malaysia

Kanak-kanak empat tahun perlu RM100,000 buang ketumbuhan

MOHD. Rizal Abdul Aziz menunjukkan ketumbuhan pada pipi kanan Nurul Naila Zara ketika ditemui di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Seorang peniaga nasi lemak merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anaknya yang menghidap ketumbuhan pada pipi kanan sejak dilahirkan.

Mohd. Rizal Abdul Aziz, 48, berkata, anaknya, Nurul Naila Zara, 4, memerlukan pembedahan di Australia dan kosnya dianggarkan kira-kira RM100,000.

Katanya, sebelum ini Nurul Naila Zara menerima rawatan di Hospital Teluk Intan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Ujian klinikal oleh doktor pakar mengesahkan anak saya perlu menjalani pembedahan di luar negara sebagai usaha terakhir untuk merawat penyakit itu.

“Setakat ini saya belum me­mohon bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di Kampung Gajah di sini, semalam.

Katanya, keadaan anaknya semakin membimbangkan apabila ketumbuhan kian membesar sehingga sukar menelan makanan.

Ujarnya, ia berikutan kedudukan lidahnya terjejas, selain terdapat bintik kecil pada bahagian itu.

“Walaupun dia tidak mengadu sakit, saya tetap risau kerana ketumbuhan itu semakin membesar seperti bengkak.

“Malah, dia juga semakin tertekan kerana sering diusik rakan sebaya sehingga kerap menangis,” ujarnya.

Mohd. Rizal yang menjual nasi lemak di tepi jalan menanggung keluarga bersama isteri­nya, Nasreen Noor, 44, serta dua anak mereka.

Dia berharap orang ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi meringankan kos rawatan Nurul Naila Zara.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 112183124990 atas nama Anita Abdul Aziz atau menghubungi Mohd. Rizal di talian 016-3291015 serta Nasreen Noor, 010-3725630. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN