22,000 pesara kerajaan jadi mangsa scammer - Utusan Malaysia

22,000 pesara kerajaan jadi mangsa scammer

AHMAD Maslan menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Pengarah Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Shaiful Ibrahim (empat dari kiri), Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Wang Persaraan, Haizad Rizal A.Aziz (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, Zuwardi Zubir (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Jabatan Perkhidmatan Awam, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 22,000 pesara kerajaan direkodkan menjadi mangsa penipuan scammer yang menggunakan wang simpanan persaraan mereka sebagai modus operandi utama.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, menerusi rekod mangsa penipuan, jumlah kerugian terkumpul yang dicatatkan sebanyak RM850 juta.

“Ini boleh berlaku kerana biasanya golongan pesara ini memegang gratuiti dan gantian cuti rehat yang agak banyak dan kadangkala mudah terpukau dengan janji manis scammer hingga akhirnya menyebabkan diri sendiri kerugian, katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemeteraian Pembaharuan Memorandum Persefahaman dan Pengenalan Sistem Integrasi antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Beliau berkata, setiap tahun seramai 30,000 sehingga 35,000 penjawat awam bersara, justeru kerajaan berharap KWAP meneruskan program khas bagi memberi kesedaran kepada golongan pesara memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan jenayah penipuan kewangan.

“Kerjasama pelbagai pihak juga amat penting untuk menghasilkan penyelesaian yang mampan dan inklusif dalam menangani isu penipuan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, daripada 1.6 juta penjawat awam seluruh negara, 55 peratus atau 880,000 sudah memiliki rumah manakala 720,000 masih belum memiliki kediaman.

Justeru katanya, LPPSA menggalas tanggungjawab menguruskan 750,000 pinjaman perumahan kakitangan awam termasuk pihak tentera, dengan nilai aset yang diuruskan berjumlah RM100 bilion.

Pada masa sama katanya, kerajaan membelanjakan RM30.2 bilion setiap tahun bagi membayar pencen 900,000 kakitangan awam termasuk tentera.

Sementara itu Ahmad berkata, majlis menandatangani memorandum tersebut bukan awalan kepada kerjasama antara tiga agensi iaitu JPA, KWAP dan LPPSA, sebaliknya penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang telah sedia berlangsung.

“Integrasi sistem ini merupakan sebuah rangkaian proses baharu bagi menghubungkan sistem persaraan JPA, KWAP dan LPPSA.

“Ia sebagai pemudah cara proses kerja sedia ada yang mana sebelum ini secara manual ditransformasikan ke sistem yang menyelaras data agar setiap pusat agensi memiliki data persaraan yang sama dan tepat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyokong inisiatif tersebut kerana ia membantu dan memudahkan para pesara kerajaan menjalani kehidupan selepas berpencen, di samping merealisasikan impian rakyat Malaysia terutama penjawat awam untuk memiliki kediaman sendiri.

Katanya, integriti data amat penting untuk memastikan kesahihan maklumat agar kesilapan dapat dielakkan dan menzahirkan proses kerja yang telus di mana ia dapat memberikan keyakinan kepada penjawat awam khususnya pesara kerajaan.

“Kerajaan komited ke arah memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti, mampu dimiliki dan mempertingkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat. Inisiatif-inisiatif ke arah penambahbaikan yang memberikan kemudahan kepada rakyat dan membantu Kerajaan seperti ini, amatlah digalakkan.

“Saya ingin menyeru kepada semua penjawat awam dan pesara kerajaan untuk memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan. Tahniah juga kepada KWAP dan LPPSA kerana sentiasa berusaha membuat penambahbaikan untuk kemudahan penjawat awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya