MG Motor Malaysia perkenal MGS5 EV dipasang secara tempatan

MG Motor Malaysia perkenal MGS5 EV dipasang secara tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MG Motor Malaysia melancarkan model kenderaan elektrik terbaharunya, MGS5 EV, yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia, sekali gus menandakan fasa baharu dalam usaha lokalisasi jenama tersebut.

Langkah ini menyusuli kejayaan pengeluaran pertama model CKD di Melaka pada awal Mac lalu, yang menjadi asas penting kepada pengembangan operasi pemasangan tempatan syarikat. 

Menurut MG Motor Malaysia, pelancaran MGS5 EV dilihat sebagai satu pencapaian strategik dalam memperkukuh kehadiran MG dalam segmen kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang di negara ini.

“Dari segi keupayaan pengecasan, MGS5 EV menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150kW, membolehkan bateri dicas dari 10 peratus ke 80 peratus dalam tempoh sekitar 26 minit dalam keadaan optimum. 

“Reka bentuk bateri ultra-nipis mendatar pula membantu menyediakan ruang kabin lebih luas, pusat graviti lebih rendah serta kestabilan pemanduan yang dipertingkatkan. Dengan jarak pemanduan sehingga 446km (WLTP), model ini sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh,” katanya dalam kenyataan.

Varian MGS5 EV LUX Long Range menambah ciri premium seperti tempat duduk kulit tiruan penuh, tempat duduk hadapan berpengudaraan, pelarasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan serta pintu but belakang kuasa tanpa sentuhan, sekali gus meningkatkan keselesaan pengguna.

Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi tujuh beg udara serta sistem bantuan pemandu canggih ADAS 2.5 yang merangkumi fungsi seperti Traffic Jam Assist dan Intelligent Cruise Control. 

MGS5 EV turut menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada Euro NCAP dan ASEAN NCAP, mencerminkan pematuhan terhadap piawaian keselamatan global.

Bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pemilikan EV, model ini ditawarkan dengan jaminan pek bateri selama lapan tahun atau 180,000 kilometer serta jaminan lapan tahun atau 160,000 kilometer bagi unit kawalan motor.

Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi berkata, ini merupakan pencapaian penting dalam usaha lokalisasi MG di Malaysia. 

Katanya, MGS5 EV mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi serta penawaran kenderaan elektrik yang menggabungkan prestasi, teknologi dan kepraktisan.

“Pemasangan tempatan model ini dijalankan di fasiliti PEPS-JV di Melaka dengan kerjasama EP Manufacturing Berhad, sekali gus menyokong pembangunan rantaian bekalan tempatan, pemindahan teknologi serta penglibatan industri domestik.

“Fasiliti Pegoh berkeupayaan memasang pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV), hibrid (HEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE). Kapasiti pengeluaran MGS5 EV dianggarkan antara 120 hingga 180 unit sebulan, dengan sasaran tahunan sekitar 1,500 hingga 2,000 unit menjelang 2026,” katanya.

Tempahan bagi MGS5 EV kini dibuka secara rasmi, dengan harga bagi varian MGS5 EV LUX Long Range bermula daripada RM116,900. 

Sempena pelancaran ini, MG Motor Malaysia turut menawarkan pakej promosi bernilai sehingga RM9,000, tertakluk kepada terma dan syarat.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN