Malaysia dalam kedudukan stabil bagi memenuhi keperluan makanan

Malaysia dalam kedudukan stabil bagi memenuhi keperluan makanan

MALAYSIA berada di kedudukan yang agak stabil dan berdaya tahan dalam memenuhi keperluan bekalan makanan, terutama bagi sumber protein utama seperti ayam dan telur.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia ketika ini berada dalam kedudukan yang agak stabil dan berdaya tahan dalam memenuhi keperluan bekalan makanan, terutama bagi sumber protein utama seperti ayam dan telur yang mencatat tahap sara diri melebihi keperluan domestik, menurut BIMB Securities Research.

Firma penyelidikan itu berkata, negara masih kekal bergantung kepada import bagi beberapa makanan asas lain, sekali gus mengekalkan cabaran terhadap ketahanan keseluruhan sistem sekuriti makanan dalam jangka panjang.

“Struktur bekalan makanan di Malaysia menunjukkan keadaan bercampur-campur, dengan sebahagian sektor berada pada tahap kukuh dan mencukupi untuk menampung permintaan rakyat, manakala sebahagian lagi masih bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan domestik.

“Bagi komoditi protein utama, tahap sara diri negara adalah memberangsangkan, dengan pengeluaran ayam mencatat sekitar 104.1 peratus, manakala telur lebih tinggi pada 119.1 peratus, mencerminkan keupayaan pengeluaran tempatan yang kukuh dalam segmen tersebut

“Ini bermakna pengeluaran tempatan bukan saja mencukupi, malah negara turut mengeksport telur ke luar,” katanya dalam nota penyelidikannya.

BIMB Securities Research berkata, situasi adalah berbeza bagi makanan ruji seperti beras dengan perangkaan menunjukkan pengeluaran beras tempatan hanya mampu memenuhi kira-kira 63 peratus daripada permintaan negara.

Katanya, baki selebihnya perlu diimport, sekali gus mendedahkan Malaysia kepada risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga dalam pasaran global.

Menurutnya, kebergantungan terhadap import lebih ketara dalam sektor sayur-sayuran dengan tahap sara diri hanya sekitar 45 peratus, menunjukkan lebih separuh bekalan datang dari luar negara.

“Ini menjadikan harga sayur mudah terkesan apabila berlaku gangguan rantaian bekalan atau peningkatan kos import,” katanya.

BIMB Securities Research berkata, secara keseluruhan, pengeluaran makanan negara menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, ia berkata, peningkatan itu masih belum mencukupi untuk mencapai tahap keterjaminan makanan yang benar-benar selesa, khususnya bagi kategori makanan asas.

Firma penyelidikan itu berkata, jurang kekurangan bekalan atau defisit makanan pula dilihat semakin tertumpu kepada barangan ruji seperti bijirin, sayur-sayuran dan produk tenusu.

“Walaupun imbangan perdagangan makanan Malaysia bertambah baik sejak pertengahan tahun 2000-an, negara masih terdedah kepada kejutan harga global,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN