'Sampai Mekah, terus masuk bilik tanpa bawa bag'

‘Sampai Mekah, terus masuk bilik tanpa bawa bag’

MUHAMMAD Fauzi Muniran melakukan persiapan terakhir sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia dari Madinah ke hotel penginapan Al-Tayseer, Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Keselesaan jemaah haji Malaysia sebenarnya bermula lebih awal, sebelum mereka menjejakkan kaki ke bilik penginapan di Mekah apabila pelbagai persiapan rapi dilakukan bagi memastikan ketibaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Di Maktab 63, Hotel Al-Tayseer, setiap perincian diurus dengan teliti termasuk susunan bagasi, penempatan bilik dan aliran pergerakan jemaah sebaik tiba dari Madinah.

Penolong Pengurus Maktab 63, Muhammad Fauzi Muniran berkata, pihaknya bersedia sepenuhnya menerima ketibaan dan memastikan mereka tidak terbeban sebaik tiba selepas perjalanan jauh.

“Semua beg jemaah telah disusun lebih awal di hadapan bilik masing-masing mengikut tag dan kapasiti bilik.

“Ini bermakna apabila jemaah sampai, mereka tidak perlu mengangkat bagasi kerana semuanya sudah tersedia,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, pendekatan itu amat membantu terutama kepada warga emas dan jemaah yang keletihan, sekali gus membolehkan mereka terus berehat tanpa perlu menguruskan bagasi.

Dalam masa sama, Muhammad Fauzi berkata, penempatan bilik turut dirancang secara terperinci bagi menjamin keselesaan sepanjang berada di Tanah Suci.

Katanya, pihaknya menyediakan bilik berkapasiti tiga, empat dan lima orang dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah bilik empat orang.

“Kami meneliti senarai penempatan lebih awal, khususnya bagi jemaah yang datang bersama keluarga.

“Jika melibatkan ibu bapa dan anak, kami akan pastikan mereka ditempatkan di aras yang sama walaupun berlainan jantina supaya mudah untuk berhubung dan saling membantu,” katanya.

Beliau berkata, aspek sensitiviti jantina juga diberi perhatian dalam susunan bilik bagi memastikan keselesaan semua jemaah.

“Perkara ini nampak kecil, tetapi penting supaya jemaah berasa lebih selesa sepanjang berada di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, aliran ketibaan jemaah turut disusun dengan teratur bermula dari kawasan lobi sehingga ke tingkat penginapan.

Menurut beliau, petugas ditempatkan di setiap lokasi strategik termasuk lobi, lif dan aras bilik bagi membantu jemaah sepanjang proses ketibaan.

“Insya-Allah jemaah tidak akan berasa keliru atau sesat kerana setiap laluan telah disediakan dengan bantuan petugas,” katanya.

Tambahnya, walaupun hanya berbaki beberapa jam sebelum ketibaan jemaah, pasukannya masih melakukan semakan akhir bagi memastikan semua persiapan berada pada tahap terbaik.

“Matlamat kami adalah memastikan jemaah tiba dengan tenang dan dapat terus memberi tumpuan kepada ibadah,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN