SHAH ALAM: Seorang jurubahasa swasta dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada pertuduhan bersubahat membunuh suaminya Chow Tiam Hee, tiga tahun lalu.
Selain Leong Eng-Eng, 41, turut dibebaskan dua lagi lelaki Mok Kum Loon, 41, dan Lim Yon Hay, 40 yang dikatakan turut bersubahat dengannya.
Pembebasan itu diputuskan oleh Hakim Norliza Othman selepas mendapati pembelaan gagal membuktikan kes prima fasi terhadap kesemua tertuduh pada akhir kes pendakwaan.
Katanya, pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima fasi ke atas pertuduhan dihadapi oleh semua tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 dan 109.
Mahkamah turut menarik balik pertuduhan terhadap adik Yon Hay iaitu Lim Yoon Loon, 35, yang meninggal dunia akibat tibi pada tahun lalu.
“Elemen (bunuh) tidak wujud kerana kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kematian si mati adalah akibat perbuatan tertuduh-tertuduh berdasarkan teori yang dikemukakan dan selepas penilaian maksimum serta keterangan saksi-saksi pendakwaan.
“Untuk membuktikan Eng Eng melakukan pembunuhan atau mencederakan si mati hingga menyebabkan kematian, pihak pendakwaan memerlukan lebih daripada sekadar menunjukkan ada tompokan darah di baju dan seluarnya,” katanya.
Malah, Hakim turut menegaskan tiada sebarang keterangan atau dokumentari daripada mana-mana 22 saksi yang dipanggil membuktikan persubahatan tertuduh-tertuduh untuk membunuh Tiam Hee, 41.
“Pihak pendakwaan perlu membuktikan Eng Eng menghasut, mengarahkan dan atau berkonspirasi dengan Kum Loon, Hon Hay, Yon Loon dan Yong Chuan (yang meninggal dunia) dalam melakukan pembunuhan tersebut.
“Pihak pendakwaan perlu membuktikan tertuduh-tertuduh merancang atau berbincang antara satu sama lain untuk membunuh si mati. Laporan pemeriksaan telefon bimbit yang dirampas tidak dikemukakan ke mahkamah,” jelasnya.
Bahkan, menurut Hakim Norliza, rakaman daripada kamera litar tertutup yang dikemukakan juga tidak boleh diterima apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan sijil di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 bagi menyangkal hujahan pembelaan bahawa ia dokumen janaan komputer.
Selain itu, tiada keterangan menunjukkan wang berjumlah RM2,600 yang dirampas daripada Hon Hay diterimanya sebagai upah.
“Pihak pendakwaan atau pegawai penyiasat gagal untuk mencantumkan (keterangan dan bukti) bagi menunjukkan satu rangkaian yang merujuk kepada perbuatan tindakan kepada tertuduh-tertuduh,” ujarnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli, manakala peguam Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah mewakili Eng Eng, sementara Tan Choon Hong dan V. Ayasamy mewakili Yon Hay.
Pada September 2022, ibu kepada empat orang anak itu berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh suaminya dalam satu rompakan palsu dekat rumahnya di Sungai Udang. – UTUSAN










