10 sekolah terjejas jerebu akibat kebakaran gambut di Bachok

10 sekolah terjejas jerebu akibat kebakaran gambut di Bachok

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK : Sebanyak 10 buah sekolah di sekitar daerah ini terjejas akibat jerebu susulan kebakaran tanah gambut di Kampung Kua, Gunong, dekat sini  yang masih memberi kesan kepada kualiti udara terutama pada sebelah malam hingga pagi.

Antara sekolah yang dikenal pasti terkesan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Lalang, SK Kandis, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis, SMK Kubang Telaga, SK Kubang Telaga, SK Beris Lalang, SK Bakong, SK Telaga Ara, SK Seneng,SMK Agama Tok Bachok (SMKATB) serta Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bachok, Mohd. Zaki Yusoff berkata, pemantauan mendapati bacaan partikel halus (PM2.5 dan PM10) di kawasan terlibat pernah mencecah antara 170 hingga 180 mikrogram per meter padu, iaitu pada tahap sangat tidak sihat dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 201 hingga 300.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, keadaan itu direkodkan antara pukul 11.30 malam hingga 9.30 pagi sebelum kualiti udara kembali normal menjelang pukul 10 pagi setiap hari.

“Sehubungan itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok mengarahkan semua sekolah terlibat mengambil langkah pencegahan segera mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

“Langkah ini penting bagi melindungi kesihatan pelajar dan warga sekolah daripada kesan jerebu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Zaki berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menempatkan stesen pemantauan kualiti udara mobil di SK Beris Lalang bagi memantau zon impak dalam radius lima kilometer dari lokasi kebakaran.

Katanya, operasi pemadaman yang dikenali sebagai Op Padam menunjukkan perkembangan positif apabila 97 peratus daripada keseluruhan 64 hektar kawasan kebakaran dapat dikawal setakat ini.

“Walaupun kebakaran utama dapat dipadamkan, pemantauan berterusan tetap dijalankan bagi memastikan tiada risiko baharu yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk khususnya komuniti sekolah di kawasan terlibat,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkaitan keadaan 10 sekolah yang terjejas akibat jerebu berkenaan.

Katanya, setakat ini proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah terlibat masih berjalan seperti biasa dan tiada sebarang penutupan sekolah dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini