Tiada unsur mistik, budak enam tahun memang tahu pandu kereta

Tiada unsur mistik, budak enam tahun memang tahu pandu kereta

KANAK-kanak enam tahun menunjukkan cara dia memandu kenderaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu kereta sehingga terlibat kemalangan dipercayai memang mengetahui asas mengendalikan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, berdasarkan siasatan yang dibuat, kanak-kanak tersebut didapati mengetahui fungsi pedal minyak dan gear kenderaan. 

Malah ujar beliau, pemeriksaan kamera papan pemuka mendapati pemanduan ketika kejadian juga tidak begitu stabil kerana kenderaaan terbabit kadangkala memasuki lorong bertentangan selain ke kiri dan ke kanan jalan.

“Kanak-kanak tersebut juga menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat hidupkan enjin apabila diminta. Kita menolak sebarang unsur mistik seperti mana yang ditularkan.

“Kanak-kanak tersebut menunjukkan bagaimana dia memandu dan turut mengetahui bagaimana hendak menurunkan brek tangan. Malah, dia juga boleh menerangkan penggunaan gear kepada pegawai penyiasat trafik,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbabas di bahu jalan didapati dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adik lelakinya berumur tiga tahun yang menjadi penumpang.

Kejadian kira-kira pukul 11.15 malam kelmarin berlaku di Jalan Bukit Tangga berhampiran Titi Chanwang, di sini yang disedari orang awam sebelum video memaparkan kenderaan berwarna putih itu terbabas tular di media sosial.

Kanak-kanak yang memandu kenderaan tersebut mengalami luka kecil di bahagian dagu, namun adiknya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kereta tersebut pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri.

Sementara itu, Shariman memaklumkan, jarak rumah ibu bapa kedua-dua kanak-kanak itu di Kampung Padang Mengkuang, di sini ke kedai yang ingin dituju mereka adalah sejauh 5 kilometer (KM).

“Tapi ketika separuh perjalanan, kenderaan terbabit kemalangan setelah terbabas melanggar tiang lampu di tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya, kanak-kanak tersebut dibawa ke Balai Polis Trafik Langkawi oleh ibu bapa mereka semasa keterangan diambil dan pihak polis telah menemu bual awal kanak-kanak tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya