Thinaah sanggup tahan muntah demi kejuaraan

Thinaah sanggup tahan muntah demi kejuaraan

M Thinaah terbaring selepas perlawanan final beregu wanita Malaysia Masters 2023 berakhir yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di Axiata Arena di sini, hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul oleh beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bagi memenuhi impian rakyat Malaysia yang mahu melihat mereka menjuarai Malaysia Masters 2023 tidak mampu dilunaskan.

Gelaran yang semakin hampir didakap, terlepas daripada genggaman apabila tumpas kepada beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 20-22, 21-8, 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung hampir dua jam di Axiata Arena, dekat sini.

Pengorbanan yang mereka lakukan bukan sedikit, tenaga yang dikerah semaksimum mungkin sepanjang kejohanan dengan permainan rali panjang, sedikit sebanyak meletihkan Pearly-Thinaah.

Sebaik perlawanan berakhir tadi, Pearly mendedahkan kepada pemberita, Thinaah sanggup menahan rasa hendak muntah ketika dihujung aksi.

PASANGAN negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa berpuas hati sebagai naib juara di Malaysia Masters.

“Thinaah tadi rasa hendak muntah semasa hujung permainan, tetapi, saya hanya menyedari keadaannya itu apabila dia memaklumkan kepada saya.

“Tapi keadaan Thinaah itu tidak sampai permainan kami terganggu, mungkin rehat dua, tiga hari dia akan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan mereka menentang Ha Na-So Hee, Pearly berkata, dia dan Thinaah melakukan beberapa kesilapan ketika permainan berada di mata ke-11.

Jelasnya, kesilapan mudah yang mereka lakukan menyumbang kepada kekalahan tersebut.

“Kita sebenarnya sudah penat, sepanjang pertandingan ini kami bermain bersunguh-sungguh, nanti kami balik, kami akan tengok semula permainan kami untuk ditambah baik menjelang kejuaraan akan datang,” ujar Pearly.

Pemain berusia 23 tahun itu yang akan menyertai Terbuka Singapura bersama Thinaah, Jun depan memberitahu, persembahan di Malaysia Masters merupakan satu permulaan baik buat mereka setelah mengharungi prestasi turun, naik pada tahun ini.

“Kami memang tidak berpuas hati kerana kami mahu melakukan lebih daripada sekarang, kami akan buat analisis daripada kejohanan ini.

“Saya rasa kami belajar sesuatu daripada pertandingan ini, permainan rali yang panjang memang sangat memenatkan, mujurlah mental kami sangat kuat dan terus bertahan,” tambahnya.

Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran beregu wanita ialah menerusi Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada 2012 dan kekalahan Pearly-Thinaah bermakna penantian peminat untuk melihat wakil negara merangkul gelaran dalam kategori tersebut semakin berpanjangan.

Walaupun tewas, Pearly-Thinaah memperbaiki pencapaian tahun lepas apabila sekadar melangkah sehingga ke separuh akhir.

Selaku naib juara juara pada kejohanan berstatus Super 500 itu, Pearly-Thinaah membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai AS$15,960 (RM73,379). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya