PETALING JAYA: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani terkandas di suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kallang, Singapura, hari ini.
Pasangan No. 8 dunia itu ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 18-21, 10-21, 21-14 dalam masa 54 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Kekalahan tersebut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin kini keciciran di belakang beregu No. 3 dunia itu dengan rekod pertemuan 1-2.
Naib juara Malaysia Masters itu gagal bermain baik dalam aksi pembukaan, namun, mereka memperkemaskan permainan pada set kedua bagi mengheret beregu dari negara tetangga itu beraksi dalam set penentuan.
Namun, Sze Fei-Izzuddin yang terlalu kerap melakukan kesilapan sendiri dalam set ketiga akhirnya tumbang kepada Fajar-Fikri.
Selepas ini, fokus bekas beregu No. 1 dunia itu perlu dialih kepada Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1,000 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia, minggu depan.
Diletakkan selaku pilihan ketujuh, Sze Fei-Izzuddin akan membuka aksi mereka bertemu beregu ke-43 dunia, Wesley Koh-Junsuke Kubo dari Singapura pada peringkat 32 terbaik. – UTUSAN










