PETALING JAYA: Beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mempertahankan gelaran selepas terkandas pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kallang, Singapura, hari ini.
Juara edisi lalu itu tewas kepada jaguh No. 5 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 15-21, 15-21 dalam masa 32 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan Aaron-Wooi Yik menentang Wei Keng-Wang Chang semakin terpisah jauh kepada 3-11.
Kali terakhir Aaron-Wooi Yik menang ke atas beregu No. 1 China itu adalah pada separuh akhir Kejohanan Asia di Ningbo, China, tahun lalu dan selepas itu, mereka kecundang sebanyak tiga kali berturut-turut termasuk Terbuka Singapura.
Tersingkirnya beregu No. 1 negara itu, bermakna Malaysia tidak mempunyai wakil yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir.
Peluang terbaik yang diletakkan kepada Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei untuk meneruskan kemaraan turut musnah, selepas kecederaan lutut dialami Ee Wei memaksa juara dunia itu menarik diri dan memberi kemenangan percuma kepada wakil India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.
Aaron-Wooi Yik perlu segera melupakan kekecewaan di Singapura kerana kejohanan lebih besar iaitu Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1,000 menanti mereka minggu depan.
Dalam aksi peringkat 32 terbaik, pilihan kedua kejohanan itu dijangka berdepan rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King. – UTUSAN










