Syarikat pemaju boleh lantik firma perundingan - Utusan Malaysia

Syarikat pemaju boleh lantik firma perundingan

RUMAH Satu Tingkat KITA Bestari menawarkan keluasan binaan seluas 1,094 kaki persegi dilengkapi dengan empat bilik tidur dan dua bilik air. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pemaju boleh melantik firma perunding untuk menjalankan kajian pasaran berkenaan permintaan rumah apabila berlakunya kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mengetahui situasi semasa permintaan pasaran hartanah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, ia bagi mengurangkan bilangan unit kediaman yang dibina tidak terjual disebabkan pembeli menangguh pembelian.

Beliau berkata, langkah berkenaan juga mampu memberi impak yang positif dan konsisten bagi penawaran daripada pihak pemaju dan permintaan daripada pembeli.

“Pemaju hartanah yang besar boleh melantik firma perunding untuk membuat kajian pasaran manakala pemaju sederhana dan berskala kecil boleh mendapat khidmat daripada persatuan pemaju yang wujud di setiap negeri atau wilayah.

“Kajian pasaran yang dilakukan boleh memberikan gambaran kepada pemaju respon pasaran dan arah aliran permintaan serta mereka dapat merancang pembinaan dan berdasarkan keperluan pasaran,” katanya.

Ditanya sama ada kenaikkan OPR akan menyebabkan orang ramai yang ingin membeli rumah menangguh pembelian atau tidak, Muhammad Ridhuan berkata, ia bergantung kepada prestasi ekonomi negara dan faktor pendapatan isi rumah.

“Kitaran ekonomi, kadar bunga (OPR) dan kesan ekonomi serantau boleh memberi kesan kepada pasaran hartanah dalam negara.

“Justeru, pertumbuhan ekonomi (KDNK yang tinggi), kenaikan dalam pendapatan isi rumah, kadar bunga yang stabil dan harga rumah yang munasabah sangat penting mempengaruhi pembeli,” katanya.

Jelas Muhammad Ridhuan, transaksi jual beli hartanah sekitar 2021 hingga 2022 dan 2011 hingga 2013 menunjukkan volum jualan meningkat ketika kadar faedah berada di paras rendah.

Bagaimanapun beliau berkata, laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan wujudnya jualan yang positif meskipun OPR berada pada kadar 3.0 peratus.

“Maksudnya, wujud corak pembelian yang pelbagai berdasarkan pendapatan isi rumah dan bagi golongan isi rumah yang tinggi pendapatan serta nilai upah benar yang tinggi (real money balance) mereka masih mampu walaupun OPR pada kadar 3.0 peratus.

“Berbanding pula dengan isi rumah atau individu yang berpendapatan sederhana atau mengikut kumpulan pendapatan sederhana dan rendah mungkin sebahagiannya menangguhkan belian.

“Beberapa transaksi sebelum ini, menunjukkan pertumbuhan ekonomi seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif sangat mempengaruhi gelagat atau sentimen isi rumah atau individu untuk membeli rumah atau membeli aset untuk pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya