Sebutan inter-parte hadanah interim Farid, Diana pada 30 Mei depan - Utusan Malaysia

Sebutan inter-parte hadanah interim Farid, Diana pada 30 Mei depan

Hadanah
DIANA Danielle meninggalkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor selepas menghadiri sebutan permohonan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, menetapkan 30 Mei depan bagi sebutan semula inter-parte hadanah interim atau hak penjagaan sementara anak pasangan pelakon, Farid Kamil dan Diana Danielle.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle Danny Beeson, 32, berkata kedua-dua pihak akan memaklumkan kepada mahkamah jika mempunyai sebarang penyelesaian pada tarikh itu.

“Pada masa sama, inter parte (dua pihak) turut perlu memfailkan afidavit masing-masing. Namun, jika sudah ada penyelesaian, kita akan terus merekodkannya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding itu.

Tambah beliau, mahkamah turut melanjutkan perintah hadanah interim kedua-dua anak Diana sehingga tarikh tersebut.

Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid Kamil Zahari, 42, turut mengesahkan perkara sama.

“Sebelum sebutan kes nanti, satu prosiding Sulh (penyelesaian pertikaian) akan turut berlangsung di mahkamah sama pada 11 April depan. Prosiding itu antaranya melibatkan perbincangan berhubung hadanah penuh antara kedua-dua pihak,” katanya.

Menurut beliau, arahan anak guamnya mahu menyelamatkan rumah tangga supaya dua anaknya tidak terpisah antara kedua-dua ibu bapa mereka.

Terdahulu, prosiding kali pertama hadanah itu berlangsung di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pasangan pelakon itu dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk berdamai sewaktu sebutan permohonan cerai yang difailkan Diana.

Pelakon Imaginur itu memfailkan permohonan cerai pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 selepas berasakan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai dan Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara anak kepada Diana yang membuat permohonan hadanah sebelum ini.

Pasangan itu sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz di Hotel Flamingo by the Lake dengan mas kahwin RM10,000 pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya