Kerajaan kaji semula gaji kakitangan Prasarana, elak lebih ramai berhijrah ke Singapura, Asia Barat - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji semula gaji kakitangan Prasarana, elak lebih ramai berhijrah ke Singapura, Asia Barat

ANTHONY Loke berbuka puasa bersama warga Rapid Rail di Depoh LRT Lembah Subang di Kompleks Rapid Rail. FACEBOOK ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Terdapat keperluan supaya gaji dan faedah kakitangan Prasarana dikaji semula bagi memastikan mereka mendapat bayaran yang setimpal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana, kadar pemberhentian dalam kalangan kakitangan Prasarana yang agak tinggi adalah situasi yang membimbangkan.

Katanya, kajian mendapati sebahagian besar mereka terutama dari bahagian teknikal yang meninggalkan syarikat itu sebelum ini kerana lebih tertarik dengan tawaran yang diberi negara luar termasuk di Singapura.

Jelasnya, seramai 836 kakitangan Prasarana telah meletak jawatan menyaksikan kadar pemberhentian yang tinggi dengan Rapid Rail merekodkan sebanyak enam peratus manakala Rapid Bus mencecah 11 peratus.

“Majoriti mereka meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Singapura dan Asia Barat.

“Menjadi tanggungjawab Prasarana dan kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja berkemahiran tinggi sentiasa dijaga, yang mana terdapat keperluan untuk mengkaji semula gaji dan faedah sedia ada supaya setanding pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Rapid Rail di Depoh LRT Lembah Subang di Kompleks Rapid Rail di sini hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Azharuddin Mat Sah turut hadir dalam majlis itu.

Sebelum itu, Siew Fook meluangkan masa melawat Kompleks Penyelenggaraan Laluan Kelana Jaya untuk melihat sendiri kerja penyelenggaraan tren bersama kakitangan teknikal Rapid Rail.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan enam insentif penambahbaikan faedah kepada kakitangan Prasarana termasuk kenaikan gaji kepada kakitangannya sebanyak empat hingga 10 peratus berdasarkan skor prestasi kerja.

Katanya, penambahbaikan kadar elaun syif sebanyak 36.3 peratus daripada RM11 kepada RM15 sehari bagi syif siang dan 53.8 peratus iaitu daripada RM13 kepada RM20 sehari bagi syif malam, dilaksana khususnya kepada kumpulan barisan hadapan dan kakitangan bukan eksekutif melibatkan 2,800 warga Prasarana.

“Khas buat warga Rapid Bas, penambahbaikan kadar elaun pemanduan sebanyak RM10 sehari akan memberi manfaat kepada 2,300 kapten bas. Penambahbaikan ini menyumbang kepada peningkatan purata pendapatan kasar bulanan kapten bas sebanyak RM220,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan elaun pasaran interim dengan kadar minimum RM200 bagi kumpulan teknikal terdiri juruteknik kanan dan jurutera seramai 590 kakitangan.

“Saya difahamkan Lembaga Pengarah sudah meluluskan kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan daripada 15 peratus kepada 16 peratus bagi pekerja yang sudah berkhidmat lima tahun dan ke atas.

“Selain itu, penambahbaikan manfaat perlindungan perubatan bagi kemasukan ke hospital daripada perlindungan individu kepada perlindungan keluarga di semua peringkat juga sudah diluluskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya